MOHD Ibrahim (tiga kiri) menerima replika cek daripada Othman di Kampung Ayer Hitam Pantai, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
MOHD Ibrahim (tiga kiri) menerima replika cek daripada Othman di Kampung Ayer Hitam Pantai, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

Masjid Tanah: Dua bulan selepas hampir kehilangan nyawa akibat perahu dilanggar bot besar, tiga beranak tetap tidak patah semangat untuk terus mencari rezeki di laut.

Biar pun nyaris hilang nyawa, Mohd Ibrahim Mat Daim, 65, dan anaknya, Mohd Bashir, 33, serta Mohd Iezaidi, 28, masih mahu meneruskan usaha dilakukan sebelum ini.

Selain menggunakan modal sendiri untuk mendapatkan perahu gentian kaca dan peralatan menangkap ikan baharu, mereka bersyukur apabila menerima Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Dengan sumbangan RM9,000 diberikan LKIM, mereka menambah kira-kira RM3,000 lagi untuk mendapatkan enjin sangkut baharu.

Penyerahan replika cek berkenaan disempurnakan Ketua Pengarah LKIM, Othman Abdul Latiff di kediaman Mohd Ibrahim di Kampung Ayer Hitam Pantai, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah LKIM Melaka, Rosli Mustapa dan Timbalannya, Zuly Syahira Mohd Surtar.

Mohd Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, 10 Oktober 2020, dia dan anaknya sedang menangkap ikan dengan menggunakan rawai, iaitu ratusan mata kail di perairan kira-kira satu batu nautika dari pantai Tanjung Tuan, dekat Alor Gajah.

Bagaimanapun sebuah bot besar yang dalam pelayaran pulang menangkap ikan ke Port Dickson tiba-tiba menghampiri perahu mereka.

"Kami menjerit serta melambai-lambaikan kain sebagai isyarat supaya tekong bot berkenaan mengelak daripada merempuh kami.

"Bagaimanapun bot itu merempuh bahagian tengah perahu kami, menyebabkan kami tercampak ke laut...saya dan Mohd Bahsir terpaksa berenang manakala Mohd Iezaidi berpaut pada tangki minyak.

"Kami bernasib baik kerana bot itu berpatah balik untuk menyelamatkan kami," katanya.

Sementara menunggu perahu gentian kaca yang baharu siap tidak lama lagi, mereka terpaksa turun ke laut dengan menjadi awak-awak perahu nelayan lain di pangkalan nelayan Kampung Pasir Gembor, Tanjung Bidara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 6:13 PM