BANGKAI penyu karah bunting yang ditemui terdampar di Pantai Tanjung Bidara. FOTO Ihsan JPN
BANGKAI penyu karah bunting yang ditemui terdampar di Pantai Tanjung Bidara. FOTO Ihsan JPN
Nuraliawati Sabri


Melaka: Malang buat seekor penyu karah apabila ditemui mati sebelum sempat naik ke pantai untuk bertelur di pesisir Pantai Tanjung Bidara, di sini, semalam.

Penyu karah seberat kira-kira 40 kilogram itu ditemui orang awam sebelum Jabatan Perikanan Negeri (JPN) diberitahu penemuan itu kira- kira jam 4.30 petang.

Pengarah JPN Mohd Fauzi Solehon berkata, bangkai penyu karah itu ditemui dengan kesan kecederaan luka terkena mata kail.

Katanya, sejurus menerima maklumat mengenai penemuan itu sepasukan pegawai bergegas ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan ke atas penyu terbabit.

"Hasil pemeriksaan dilakukan mendapati terdapat kesan luka di kepala dipercayai terkena rawai.

"Kita percaya penyu itu mati di laut dan ditolak ke pantai oleh arus selain ia dalam perjalanan ke pantai untuk bertelur," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut beliau berkata, semakan dilakukan juga mendapati, penyu karah betina itu sebelum ini pernah bertelur di Pantai Melaka.

"Pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat tag di badannya yang ditandakan penyu itu sebelum ini pernah naik ke pantai dan bertelur.

"Dengan insiden yang berlaku semalam kita amat kecewa kerana ia membabitkan spesis haiwan yang terancam," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak teragak-agak akan mengambil tindakan tegas sekiranya didapati ada nelayan yang menggunakan peralatan dilarang ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan.

"Kami mohon nelayan di Melaka jangan menggunakan peralatan dilarang seperti pukat tagan atau pekap dan rawai tanpa umpan.

"Ini kerana ia boleh menyebabkan penyu tersangkut di pukat dan termakan mata kail kerana disangkakan makanan," katanya.

Menurut beliau, sekiranya ada yang dikesan masih menggunakan kaedah ini tindakan akan diambil mengikut Akta Perikanan 1985.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 1:58 PM