FaizulFaizul Azlan Razak


Marang: Wanita dari Kampung Rawai, di sini, mengesahkan mangsa maut dalam nahas bas ekspres di KM137.3 lebuh raya PLUS, arah utara, dekat Kampung Jayor, Pagoh, adalah abangnya, Mohd Hisham Wahab, 34.

Noor Suriati, 29, mengesahkan keluarganya menerima panggilan polis dari Johor dan memberitahu mengenai berita sedih itu, pada 7.15 malam.

Menurutnya, polis meminta wakil daripada keluarganya ke bilik mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar bagi menuntut jenazah arwah abangnya.

Berikutan itu, katanya, bapanya, Wahab Jusoh, 59, bersama bapa saudaranya, Baharuddin Musa, 50, sudah ke HPSF dengan menaiki van jenazah Kampung Rawai, pada 9.15 malam tadi.

Menurutnya, jenazah abangnya akan dibawa pulang ke Terengganu apabila proses urusan jenazah selesai dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rawai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2016 @ 11:55 PM