SUASANA di kediaman keluarga mangsa. FOTO Faizul Azlan Razak
SUASANA di kediaman keluarga mangsa. FOTO Faizul Azlan Razak
Faizul Azlan Razak


Marang: Jenazah Mohd Hisham Wahab, 34, yang maut dalam nahas bas ekspres di Kilometer 137.3 lebuh raya PLUS, dekat Pagoh semalam, dijangka akan dikebumikan di Kampung Rawai, di sini, selepas solat Isyak malam ini.

Adik mangsa, Noor Suriati, 29, berkata, jenazah abangnya kini dalam perjalanan pulang selepas dituntut bapanya kira-kira 11 pagi tadi.

Menurutnya, jenazah akan dibawa ke rumah keluarganya untuk dimandikan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Nering, Kampung Rawai.

Sementara itu, Noor Suriati berkata, hari ini dia memang untuk merancang mengadakan kenduri kesyukuran dan majlis cukur jambul anak ketiganya di rumahnya.

Menurutnya, majlis itu terpaksa diteruskan selepas persiapan diatur dari awal tetapi diganti dengan tahlil dan bacaan Yasin.

Menurutnya, abangnya masih bujang dan anak lelaki tunggal daripada lima beradik.

"Kelmarin tiba-tiba saya teringatkannya tetapi tidak sangka ia menjadi petanda dia akan meninggalkan kami selama-lamanya," katanya.

Mohd Hisyam adalah antara 14 mangsa yang maut dalam kemalangan bas ekspres kira-kira 3.30 pagi ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2016 @ 5:13 PM