Amirul (kiri) mengangkat hasil tangkapan. FOTO Hassan Omar
Amirul (kiri) mengangkat hasil tangkapan. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

Alor Gajah: Daripada pendapatan mencecah RM1,000 sehari kepada pendapatan tidak menentu bergantung kepada jumlah tangkapan ikan yang ada kalanya hanya RM10 sehari.

Itulah yang terpaksa dilalui pengusaha bot pisang, Amirul Azim Kamarulzaman, 22, sejak pandemik Covid-19 mendorong kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan menyebabkan pelancong berkurangan.

Bagaimanapun, hidup harus diteruskan dan untuk mendapatkan rezeki, Amirul terpaksa beralih menjadi nelayan sepenuh masa dengan menggunakan jaring atau pukat dan rawai.

Amirul berkata, sebelum PKP dilaksanakan, beliau tidak menang tangan untuk membawa pelancong menaiki bot pisang yang ditarik dengan bot meredah ombak di pinggir pantai.

"Bot pisang itu mampu memuatkan 10 orang dengan kadar bayaran RM10 setiap penumpang dengan tempoh pelayaran antara 20 hingga 30 minit.

"Saya menunda penumpang membelah ombak di pinggir pantai hingga satu batu nautika dari pantai untuk menggembirakan hati mereka hingga mereka benar-benar puas menaiki bot pisang," katanya ketika ditemui di pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak hari ini.

Bagaimanapun, pandemik Covid-19 menyebabkan pelancong semakin berkurangan hingga ada kalanya sukar untuk beliau mendapatkan walaupun 10 penumpang, sekali gus memaksa beliau beralih kepada kerjaya menangkap ikan.

"Sebagai nelayan, pendapatan saya tidak menentu, bergantung kepada jumlah tangkapan dan ada kalanya langsung tiada pendapatan kerana tiada ikan yang kami dapat," katanya.

Amirul berkata, ada ketika beliau dan awak-awak terpaksa bertarung dengan ribut yang turun secara tiba-tiba sebelum sempat mereka naik ke darat.

Kesengsaraan mencari rezeki di laut mengajar Amirul bahawa titik peluh yang membasahi tubuh tidak seharusnya terbayar dengan hasil tangkapan yang banyak, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada rezeki yang ditentukan Allah SWT.

Bagaimanapun, beliau bernasib baik kerana modal yang digunakan untuk mendapatkan bot pisang, bot penunda dan enjin motor sudah berjaya diperoleh semula hasil operasi sebelum pandemik bermula.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 10:48 AM