Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman (kanan) melakukan pelupusan barang iruan yang dirampas dalam mesin khas di Nilai hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.
Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman (kanan) melakukan pelupusan barang iruan yang dirampas dalam mesin khas di Nilai hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


Nilai: Pelbagai barangan tiruan, cetak rompak dan tidak penuhi piawaian keselamatan berjenama bernilai RM36.49 juta dilupuskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), di sini, hari ini.

Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, pelupusan barang itu membabitkan 2,822 kes pengkompaunan dan pendakwaan mengikut Akta Hakcipta 1987, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Jualan Langsung 1999, Akta Cakera Optik 2000 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

"Kesemua barangan ini membabitkan barang rampasan berkaitan cetak rompak, barang tiruan dan tidak penuhi standard keselamatan hasil tindakan penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar Putrajaya, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

"Barangan yang dilupuskan membabitkan beg tangan, beg galas, kasut, aksesori telefon, katrij dan arak.

"Semua barangan yang dilupuskan ini adalah hasil rampasan yang dijalankan sejak Januari hingga awal bulan ini ke atas pelanggaran kesalahan mengikut undang-undang diperuntukkan selepas menerima arahan daripada pihak mahkamah dan pengawal perihal dagangan," katanya pada sidang media Program Pelupusan Eksibit Perdana di Kompleks Penyimpanan Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, di sini, hari ini.

Iskandar berkata, tindakan penguatkuasaan dan rampasan barangan itu adalah hasil daripada aduan pemilik Cap Dagang.

Menurutnya, pelaksanaan pelupusan ini bertujuan membasmi aktiviti penjualan dan penggunaan barang tiruan di pasaran sekali gus mengelak pemilik mengalami kerugian.

"Pemilik Cap Dagang akan mengesahkan barang tiruan termasuk yang dipasarkan menerusi dalam talian dan tindakan seterusnya merampas barang berkenaan," katanya.

Beliau berkata, sasaran utama KPDNHEP ketika ini adalah untuk mengesan pemborong barangan berkenaan bagi menyekat rantaian kegiatan terbabit yang menyalahi undang-undang.

"Saya nasihatkan orang ramai termasuk yang menjalankan perniagaan dalam talian supaya elak menjual barang tiruan kerana ia menyalahi undang-undang," katanya.

Dalam perkembangan lain, Iskandar berkata, jabatannya sudah memeriksa 731,102 premis di seluruh negara sejak Januari hingga awal bulan ini.

Beliau berkata, melalui tindakan itu, pihaknya mengesan 9,448 kes pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan berjumlah RM74.09 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 5:23 PM