MOHD Hairul Anuar Bohro. FOTO Arkib NSTP.
MOHD Hairul Anuar Bohro. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

Johor Bahru: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor melupuskan pelbagai barangan bernilai kira-kira RM4 juta hasil rampasan membabitkan 155 kes sejak 2018 hingga tahun lalu.

Pengarahnya Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, kesemua barangan rampasan itu melibatkan tindakan kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Cap Dagang 2019, Akta Jualan Langsung 1999 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Ia melibatkan 96,700 unit barangan tiruan antaranya pakaian, beg tangan, kasut dan minyak wangi manakala barangan melibatkan hak cipta seperti perisian komputer, cakera video digital (DVD) dan cakera padat video (VCD).

"Majlis pelupusan ekshibit mega yang diadakan di Kompleks Penyimpanan Seksyen Penguat Kuasa KPDNHEP Johor di Senai ini merupakan aktiviti pelupusan terbesar diadakan bagi tahun ini dan ia dilupuskan selepas mendapat arahan oleh pengawal dan mahkamah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihatkan peniaga supaya mematuhi undang-undang perniagaan yang ditetapkan kementerian dan tidak melanggar undang-undang membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan bagi mengelak dikenakan tindakan.

Katanya pengguna juga dinasihatkan tidak membeli barang tiruan kerana produknya tidak berkualiti selain sebagai inisiatif melindungi harta intelek pemilik asal cap dagang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 6:01 PM