AZMAN (kanan) melupuskan barangan tiruan yang dirampas. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
AZMAN (kanan) melupuskan barangan tiruan yang dirampas. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Mohd Amin Jalil

my

Nilai: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melupuskan pelbagai barang rampasan termasuk barangan tiruan berjumlah RM51.91 juta membabitkan pelbagai kesalahan di seluruh negara, tahun ini.

Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya Azman Adam berkata, pelupusan barang rampasan ini membabitkan tindakan kes di bawah pelbagai kesalahan antaranya membabitkan Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Jualan Langsung 1999, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

"Ia membabitkan barang rampasan berkaitan cetak rompak, barang tiruan dan standard keselamatan.

"Berdasarkan tindakan kes pengkompaunan dan pendakwaan, ia membabitkan sebanyak 1,868 kes barang sitaan yang dilupuskan tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Penyimpanan Penguat Kuasa KPDNHEP di Kawasan Perindustrian Arab Malaysian di sini, hari ini.

Azman berkata, sepanjang tahun ini, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP melakukan pelbagai operasi penguatkuasaan dan pemeriksaan berkaitan bekalan, harga, antipencatutan, ketirisan, cetak rompak, barang tiruan, halal, sewa beli, metrologi, skim anti piramid, jualan langsung dan penipuan pembelian dalam talian.

"Sehingga akhir September lalu, sebanyak 632, 242 premis diperiksa di seluruh negara dan sebanyak 8,782 tindakan sudah diambil membabitkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan berjumlah RM29.96 juta.

"Dalam tempoh sama juga, sebanyak RM4.11 juta kompaun juga dikeluarkan membabitkan 7,830 kes di seluruh negara.

"Selain itu, sebanyak 97 kes pula membabitkan tindakan pendakwaan di mahkamah dengan jumlah keseluruhan denda sebanyak RM798, 292," katanya.

Beliau juga berkata, dari segi kesalahan di bawah Akta 342, KPDNHEP sudah mengeluarkan kompaun sebanyak RM5 juta, setakat ini.

Mengulas lanjut mengenai kegiatan penipuan pembelian dalam talian, katanya, pihaknya menerima sebanyak 22, 274 aduan mengenai aktiviti berkenaan setakat September lalu.

"Kegiatan penipuan atau transaksi dalam talian adalah paling tinggi yang mana daripada jumlah keseluruhan aduan, lebih 9,000 membabitkan urus niaga dalam talian.

"Banyak isu berkaitan urus niaga dalam talian berlaku terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Secara puratanya, aduan membabitkan penipuan dalam talian ini sahaja merangkumi sekitar 40 peratus terutama ketika PKP, daripada kes penipuan urus niaga lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 3:43 PM