Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Pelbagai rampasan barangan berjenama tiruan, cetak rompak dan makanan bernilai lebih RM1 juta sejak 2018 lalu dilupuskan.

Pelupusan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang sejak Januari hingga Oktober ini selepas hukuman dijatuhkan.

Pengarah KPDNHEP negeri, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, setakat ini semua barang rampasan membabitkan 109 kes yang sudah selesai di mahkamah dilupuskan.

"Berdasarkan rekod semasa, jumlah kes yang dilaksanakan proses pelupusan sepanjang 10 bulan ini membabitkan kes dari KPDNHEP negeri termasuk cawangan Timur Laut dan Seberang Perai Utara dengan jumlah lebih RM1 juta.

"Kesemua kes ini sudah selesai dibicarakan dan dijatuhi hukuman di mahkamah," katanya selepas program Pelupusan Eksibit Perdana diKompleks Penyimpanan Stor Eksiibit KPDNHEP negeri di Bukit Minyak, di sini, hari ini.

Katanya, barang rampasan yang dilupuskan terdiri kasut sukan, selipar, seluar sukan, jeans, baju T, beg tangan, jersi dan jam tangan.

"Selain itu, kita turut melupuskan makanan, cakera padat digital (DVD), alat timbang, tangki fiber berkapasiti 1,000 liter serta hos paip penyambung gas.

"Pelupusan barangan ini membabitkan kes yang disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999," katanya.

Menurutnya, pihaknya membuat pemeriksaan ke atas 37,094 premis termasuk kompleks beli-belah sepanjang tahun ini.

Katanya, sebanyak 543 kes diambil tindakan dengan rampasan bernilai RM2.5 juta selain mengeluarkan 441 kompaun berjumlah RM161,550.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar (tengah) melupuskan barang tiruan hasil rampasan daripada 109 kes sejak dari tahun 2018 ketika program Pelupusan Ekshibit Perdana KPDNHEP Pulau Pinang sempena Sambutan Hari Penguatkuasa Ke-48 di Stor Penyimpanan Eksibit KPDNHEP Pulau Pinang, Kawasan Perindustrian Bukit Minyak di sini. FOTO DANIAL SAAD

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 3:17 PM