Zakaria di Pelupusan Mega Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024 di Aras 2 Stor KPDN Segambut. FOTO NUR RAIHANA ALIA
Zakaria di Pelupusan Mega Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024 di Aras 2 Stor KPDN Segambut. FOTO NUR RAIHANA ALIA
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur melupuskan sebanyak 19,790 barang pelbagai jenis bernilai RM1.2 juta yang dirampas bagi tempoh Oktober hingga Disember 2023.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna dan Pengurusan) KPDN Datuk Zakaria Shaaban berkata, barangan itu adalah hasil rampasan atas kesalahan mengikut peruntukan undang-undang selepas selesai menjalani proses mahkamah dan mendapat kebenaran untuk dilupuskan.

"Barangan itu merangkumi baju, seluar sukan, kasut, selipar, jam tangan, beg tangan, aksesori telefon bimbit, alat ganti kenderaan, minyak wangi dan minuman keras.

"Ia membabitkan kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Hak Cipta 1987, Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011, Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-piramid dan Akta Perlindungan Pengguna 1999," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelupusan Mega KPDN Kuala Lumpur di Kompleks Sentral Segambut, di sini, hari ini.

Beliau berkata, KPDN Kuala Lumpur juga sudah melupuskan pelbagai barangan dirampas bernilai RM5.8 juta membabitkan 146 kes sepanjang tahun lalu.

"Pada 2022, KPDN Kuala Lumpur merekodkan 152 kes dengan rampasan bernilai RM7.5 juta dan 549 kes membabitkan rampasan bernilai RM22.1 juta pada 2021.

"Barangan tiruan adalah barang yang paling banyak dilupuskan sepanjang tempoh berkenaan.

"Pada tahun lalu, sebanyak 129 kes direkodkan membabitkan 85,000 barang tiruan dengan nilai sitaan RM3.71 juta.

"Pelaksanaan pelupusan ini bertujuan membasmi aktiviti penjualan serta penggunaan barangan tiruan dan KPDN sentiasa komited dalam membanteras masalah penjualan barang tiruan dan salah guna harta intelek," katanya.

Beliau turut mengingatkan pemilik premis supaya sentiasa berwaspada dengan kegiatan penyewa kerana mereka boleh didakwa atas pelbagai kesalahan jika premis digunakan untuk kegiatan salah oleh penyewa.

"Sasaran utama KPDN ketika ini adalah mengesan pemborong barangan berkenaan bagi menyekat rantaian kegiatan terbabit yang menyalahi undang-undang.

"KPDN juga akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang kepada mereka menjalankan perniagaan dalam talian yang menjual barang tiruan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan itu boleh menghubungi pihak KPDM tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 2:39 PM