GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

JUMLAH kumulatif kes denggi di Negeri Sembilan dari Januari hingga 23 Mei lalu merekodkan peningkatan 11.6 peratus iaitu 1,138 kes berbanding 1,020 kes tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri S. Veerapan berkata, pada minggu ke-21 sahaja iaitu dari 17 Mei hingga 23 Mei, sebanyak 64 kes direkodkan.

"Taburan kumulatif kes denggi di Negeri Sembilan pada tahun ini iaitu sebanyak 937 kes di Seremban, Port Dickson (48), Rembau (47), Tampin (38), Jempol (33), Kuala Pilah (19) dan Jelebu (16).

"Terdapat satu kes kematian denggi dilaporkan di Seremban menjadikan kumulatif kematian denggi sebanyak empat kes (bagi Januari) sehingga 23 Mei 2020 berbanding lima kes pada tempoh yang sama tahun 2019," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kumulatif lokaliti wabak yang masih aktif adalah sebanyak 23 lokaliti dengan 21 lokaliti di Seremban dan satu lokaliti masing-masing di Rembau dan Kuala Pilah.

"Aktiviti pencegahan dan kawalan diteruskan pada masa ini walaupun Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan mulai 18 Mac, dengan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan Aedes ditumpukan di luar premis kediaman dan kawasan persekitaran, aktiviti larviciding, semburan pengasapan dan promosi kesihatan.

"Manakala operasi gempur Aedes dan gotong-royong yang membabitkan masyarakat ditangguhkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 1:28 PM