FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


NEGERI Sembilan mencatatkan 682 kes demam denggi dengan tiga kematian dicatatkan sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Zainudin Mohd Ali berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 410 kes berbanding tahun lalu iaitu 272 kes dan tiada kematian, bagi tempoh sama.

Katanya, sepanjang Januari hingga hari ini, Seremban menunjukkan kes demam denggi tertinggi iaitu 546 kes manakala Port Dickson (38), Tampin (41), Kuala Pilah (13), Jelebu (12) dan Jempol serta Rembau masing-masing 16 kes.

“Tiga kematian yang dilaporkan ialah dua lelaki berusia 56 dan 62 tahun meninggal dunia di Seremban manakala satu kematian membabitkan lelaki berusia 64 tahun di Port Dickson, pada Januari lalu.

“Sebanyak lapan lokaliti wabak denggi masih aktif dengan masing-masing empat di Seremban dan Nilai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainudin berkata, orang ramai disaran mendapatkan rawatan awal jika terdapat tanda atau gejala demam denggi.

“Jika perlu semburan aerosol hendaklah dilakukan bagi membasmi nyamuk dewasa di dalam rumah untuk mengelak jangkitan demam denggi. Tidak digalakkan juga keluar rumah pada waktu puncak gigitan nyamuk aedes iaitu pada 5 petang hingga 7 malam serta 5 pagi hingga 7 pagi,” katanya.

Beliau turut menasihati masyarakat supaya memastikan keadaan rumah bersih dan bebas dari tempat pembiakan aedes dengan membuat pemeriksaan di rumah setiap minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 12:08 PM