FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Seremban: Jumlah kumulatif kes denggi di Negeri Sembilan merekodkan penurunan sebanyak 81.9 peratus iaitu 421 kes bagi tempoh Januari hingga 11 September lalu, berbanding 2,326 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S Veerapan berkata, daripada jumlah itu Seremban merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 336 kes diikuti Jempol (18), Port Dickson (18), Jelebu (15), Tampin (15) Rembau (13) manakala Kuala Pilah (enam).

"Bilangan kes yang dilaporkan bagi mingguan semasa iaitu dari 5 hingga 11 September adalah enam kes dan tiada kematian direkodkan pada minggu berkenaan.

"Jumlah kumulatif kematian akibat denggi adalah satu kes (Januari hingga 11 September) berbanding lapan kes bagi tempoh sama tahun lepas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, memandangkan negeri ini masih dalam Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), gotong-royong kendiri digalakkan di kawasan rumah masing-masing selain menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kerap membasuh tangan.

Beliau berkata, masyarakat juga digalakkan membersihkan kawasan premis masing-masing 10 minit setiap minggu dengan menghapuskan tempat atau bekas yang berpotensi bagi pembiakan nyamuk aedes sekali gus dapat mengekang penularan demam denggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 5:28 PM