GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Oleh Mohd Amin Jalil


KES demam denggi di Negeri Sembilan meningkat 18.9 peratus apabila merekodkan 1,358 kes bagi tempoh Januari hingga 13 Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Alam Sekitar, Kesihatan dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, tempoh sama tahun lalu demam denggi di negeri itu merekodkan 1,142 kes.

Katanya, bagi tempoh seminggu sahaja dari 7 hingga 13 Jun lalu sebanyak 77 kes demam denggi direkodkan.

"Terdapat satu kes kematian baharu akibat denggi menjadikan sebanyak lima kematian bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, berbanding enam kematian bagi tempoh yang sama tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai kumulatif kes demam denggi, daerah Seremban mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 1,139 kes manakala Port Dickson (52), Rembau (51), Tampin (41), Jempol (39), Kuala Pilah (19); dan Jelebu sebanyak 17 kes.

Beliau berkata, kumulatif lokaliti wabak yang masih aktif pula ialah sebanyak 27 dengan 26 daripadanya di Seremban dan satu di Jempol.

Menurutnya, aktiviti pencegahan dan kawalan diteruskan pada masa ini walaupun terdapat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang bermula pada 10 Jun sehingga 31 Ogos dengan menjalankan aktiviti mencari dan memusnah tempat pembiakan Aedes ditumpukan di premis kediaman dan kawasan persekitaran.

"Selain itu, aktiviti menghapuskan jentik-jentik dan semburan serta kempen kesihatan turut digerakkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) dan Jabatan Kesihatan Daerah.

"Masyarakat digalakkan untuk melaksanakan pembersihan kawasan premis masing-masing 10 minit setiap minggu dengan menghapuskan tempat atau bekas yang berpotensi bagi pembiakan nyamuk Aedes sekali gus mengekang penularan demam denggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 7:03 PM