FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Sistem perlindungan sosial negara perlu ditambah baik supaya dapat mempertingkatkan taraf hidup bagi segenap lapisan masyarakat serta tidak bergantung kepada simpanan hari tua atau insurans semata-mata.

Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, usaha itu harus bermula sejak permulaan kitaran kehidupan dengan memberi akses penjagaan kesihatan kepada ibu hamil dan janin dalam kandungan lagi.

Katanya, sistem perlindungan sosial yang menyeluruh harus berbentuk dinamik dengan mengambil kira keperluan di setiap fasa kehidupan, termasuk persekitaran kondusif yang menyokong pertumbuhan fizikal serta mental kepada setiap kanak-kanak dan remaja ketika berada di zaman persekolahan.

"Semasa di alam pekerjaan, setiap warga kerja harus dilindungi skim perlindungan keselamatan sosial nasional bagi membantu mereka apabila berdepan bencana luar jangka seperti kemalangan semasa bekerja, kematian serta diberhentikan kerja.

"Sistem pencen dan keselamatan sosial untuk menghadapi usia persaraan perlu dimantapkan agar warga tua Malaysia dapat hidup dengan bermaruah serta selesa," katanya pada taklimat media secara maya mengenai laporan terkini terbitan KRI bertajuk 'Ketidakseimbangan Sosial dan Kesihatan di Malaysia'.

Menurutnya, Malaysia sudah mempunyai sektor sosial yang diurus dengan baik seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta institusi perlindungan sosial seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP.

Nor Mohamed berkata, Malaysia juga sudah mempunyai asas yang baik untuk mengkaji secara menyeluruh dengan tujuan mewujudkan satu sistem keselamatan sosial yang komprehensif.

Sementara itu, laporan terkini KRI menunjukkan status kesihatan individu di Malaysia berkait rapat dengan status sosioekonomi, yang mana golongan berpendapatan rendah kebanyakannya hidup lebih singkat dan mempunyai tahap kesihatan lebih rendah, satu fenomena yang tidak asing dalam isu kesihatan di seluruh dunia.

Di Malaysia, beliau menjelaskan bahawa kadar penyakit seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi adalah tertinggi dalam kalangan B20 dan lebih rendah dalam kalangan T20.

"Model penjagaan kesihatan negara perlu memberi penekanan yang lebih tinggi kepada pendekatan pencegahan bagi meningkatkan daya tahan rakyat.

"Kesepakatan dasar kerajaan di pelbagai peringkat kementerian dan agensi memainkan peranan penting untuk merapatkan jurang kesihatan.

"Penambahbaikan kesihatan hanya boleh dicapai apabila setiap komponen kesejahteraan rakyat dipertingkatkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 4:54 PM