Nor Mohamed Yakcop
Nor Mohamed Yakcop
BERNAMA

Kuala Lumpur: Khazanah Research Institute (KRI) berpendapat satu sistem sosial yang menyeluruh, dinamik dan mampan perlu diwujudkan sebagai benteng asas masyarakat khususnya dalam berdepan bencana luar jangka.

Pengerusinya Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata pihaknya berpandangan pendekatan perlindungan sepanjang hayat harus diberi penekanan supaya taraf hidup selesa terbentuk sejak dalam kandungan sehingga hari persaraan.

"Seiring kemajuan negara, fungsi sistem perlindungan sosial harus menjangkaui bantuan kemiskinan dan penyediaan keperluan asas.

"Sistem tersebut juga harus bersifat mencegah dan meningkatkan daya tahan, lantas mampu menongkah badai kehidupan yang boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat," katanya ketika berucap pada majlis penerbitan laporan KRI – Menongkah Badai: Ke arah Keterangkuman Perlindungan Sosial di Malaysia secara maya hari ini.

Beliau berkata krisis Covid-19 telah mendedahkan jurang dalam sistem jaminan perlindungan sosial negara dan telah menyebabkan sebilangan rakyat terperangkap dalam belenggu kemiskinan.

"Boleh dikatakan sistem perlindungan sosial Malaysia telah bergerak seiring dengan keperluan negara sebagai negara membangun. Namun, jurang dari segi liputan dan kecukupan nilai bantuan tetap menjadi masalah serius," katanya.

Menurutnya, sebahagian besar program kebajikan sosial bersifat bantuan jangka pendek, tidak didasari dengan komitmen dari segi perundangan dan sumber kewangan yang kukuh.

"Ini menghasilkan program-program yang kurang lestari, memberi faedah yang tidak mencukupi dan tidak menentu serta tidak selaras dan bertindih.

"Institusi perlindungan sosial seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memang bergerak pantas dalam menyalurkan bantuan semasa krisis sekarang.

"Bagaimanapun, liputan bagi skim-skim berbentuk insurans sosial, kebanyakannya masih terhad kepada pekerja sektor formal yang membuat caruman," tambahnya.

Laporan itu turut mencadangkan pertimbangan bagi beberapa dasar utama termasuk melabur untuk manfaat kanak-kanak sejagat, memperluaskan liputan mandatori skim insurans sosial untuk penduduk dalam usia bekerja dan memperkenalkan pencen insurans sosial untuk warga emas.

Beliau berkata objektif utama laporan tersebut adalah untuk memulakan perbincangan mengenai sistem perlindungan sosial dan seterusnya, untuk negara mewujudkan satu struktur sistem perlindungan sosial yang akan mengoptimumkan potensi setiap rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama atau strata.

"Harapan saya agar laporan KRI ini akan menyumbang kepada perubahan-perubahan positif ke arah membina sebuah masyarakat yang lebih kukuh dan saksama, serta memastikan kesihatan, keselesaan dan kesejahteraan setiap rakyat Malaysia," katanya.

Laporan itu boleh dimuat turun di www.krinstitute.org

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 2:24 PM