Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Institusi Penyelidikan Khazanah (KRI), agensi dibawah Khazanah Nasional Berhad mengesyorkan pembaharuan daripada segi reformasi institusi dan penyusunan semula perolehan bahan serta perkhidmatan untuk sektor perumahan.

Pengarah Urusan KRI Datuk Charon Mokhzani berkata, sektor perumahan kurang efisien mewujudkan pasaran perumahan Malaysia yang tidak mampu dimiliki.

Beliau berkata, permintaan perumahan yang mampu dimiliki kian meningkat apabila negara pesat membangun dan penyediaan perumahan sosial bagi majoriti penduduk akan memberi tekanan kewangan ke atas perbelanjaan kerajaan.

“Jika trend ini tidak ditangani, golongan 40 peratus berpendapatan rendah dan 40 peratus berpendapatan sederhana bakal memerlukan perumahan sosial pada masa hadapan.

“Oleh itu, beberapa langkah perlu dilaksanakan untuk membangunkan sektor perumahan yang mapan dan responsif kerana cabaran menyediakan rumah yang mampu dimiliki kepada semua isi rumah menjadi tumpuan penggubal dasar,” katanya pada sidang media di majlis pelancaran Laporan ‘Making Housing Affordable’ oleh KRI, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi KRI Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Laporan berkenaan turut mencadangkan perubahan tumpuan polisi perumahan daripada aspek permintaan bagi memperbaiki tahap efisien bekalan perumahan.

Menurut piawaian ukuran antarabangsa, pasaran perumahan Malaysia berada di tahap yang ‘sangat tidak mampu dimiliki’ dan median harga rumah di negara ini berada pada tahap 4.4 kali median pendapatan isi rumah tahunan.

Kawasan bandar menghadapi cabaran lebih besar di mana pemilikan perumahan sekitar 69.1 peratus berbanding tahap 72.5 peratus bagi seluruh Malaysia dan peningkatan populasi masyarakat dengan kadar 2.0 peratus setiap tahun menjadikan masalah ini lebih kritikal.

Sementara itu, Pengarah Penyelidikan Program Bandar KRI Dr Suraya Ismail berkata, tiga cadangan dasar yang diusulkan supaya dapat dilaksanakan ialah membentuk sistem perolehan perumahan mampu dimiliki yang bertujuan menyatukan pihak terbabit di sepanjang rantaian industri.

“Selain itu, cadangan dasar kedua dan ketiga ialah mengambil langkah untuk mengurangkan tekanan dan beban yang membawa kepada peningkatan pesat harga rumah serta mengambil langkah untuk merancang bekalan yang stabil dalam sektor perumahan pada harga berpatutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 1:12 PM