GAMBAR tembok depan kediaman Ketua Polis Segamat disimbah cat February lalu yang tular semula.
GAMBAR tembok depan kediaman Ketua Polis Segamat disimbah cat February lalu yang tular semula.
Ahmad Ismail


Segamat: Kejadian tembok depan rumah Ketua Polis Daerah Segamat di Jalan Johor Bahru-Seremban di sini disimbah cat adalah foto lama yang tular semula.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, kejadian itu berlaku pada Februari lalu dan suspek berusia 31 tahun sudah pun ditangkap di Taman Perling, di sini, 5 Februari lalu.

"Turut dirampas satu tin cat dan barang-barang lain yang digunakan semasa kejadian. Suspek mempunyai dua rekod lampau kes khianat dan satu kes samun.

"Saringan air kencing mendapatinya negatif dadah. Suspek sudah dituduh di mahkamah majistret pada 6 Februari lalu dan dijatuhkan hukuman enam bulan penjara selepas gagal membayar denda RM2,500.

Sebelum ini tular foto tembok kediaman rasmi Ketua Polis Daerah Segamat disimbah cat dan sekeping nota meminta kedai dadah di daerah ini dihapuskan.

Ahmad Zamry berkata, siasatan mendapati suspek mendakwa melakukan perbuatan tersebut kerana sering terdengar bisikan ghaib.

"Suspek mendakwa terdengar bisikan ghaib disyaki halunisasi menyatakan suspek terlibat kes dadah dan menjadi buruan polis.

"Akibat daripada itu suspek menyasarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat sebagai tanda protes," ujar beliau.

Zamry berkata, disebabkan kehadiran polis di pos pengawal, suspek mengubah sasaran dengan melakukannya di rumah Ketua Polis Daerah Segamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 4:46 PM