PELBAGAI inisiatif  yang digerakkan  KWSP serta pihak berkaitan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan pekerja.
PELBAGAI inisiatif yang digerakkan KWSP serta pihak berkaitan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan pekerja.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengalu-alukan cadangan kerajaan meningkatkan gaji rakyat Malaysia di bawah kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang dilancarkan baru-baru ini kerana ia akan melonjakkan Malaysia kepada sebuah negara berpendapatan tinggi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Kerangka ekonomi dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyasarkan kadar gaji berbanding KDNK supaya melompat daripada 32 peratus pada 2022 kepada 45 peratus, sejajar dengan tahap negara lebih maju.

Mengulas cadangan itu, Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Nurhisham Hussein berkata, KWSP sentiasa menyokong usaha kerajaan memastikan pekerjaan berkualiti dengan pembayaran upah lebih tinggi kepada pekerja kerana langkah itu menyumbang kepada simpanan persaraan mereka.

Katanya, sejak penubuhan KWSP pada 1951 lagi, badan itu bukan hanya menumpukan kepada penyediaan simpanan persaraan, malah memainkan peranan dalam meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan pekerja di Malaysia.

"Ini boleh dilihat dari segi kerjasama rapat KWSP dengan majikan dalam memastikan pematuhan terhadap memenuhi keperluan keselamatan sosial pekerja.

"KWSP secara aktif menggunakan setiap peluang yang ada untuk mengetengahkan isu kenaikan gaji dalam perbincangan dengan pihak berkepentingan sama ada di peringkat pembuat dasar mahupun di wakil pekerja dan majikan.

"Dengan adanya upah lebih tinggi, secara tidak langsung membolehkan ahli KWSP mencarum pada amaun lebih tinggi bagi membina simpanan persaraan demi kesejahteraan hidup pada usia tua mereka," katanya.

Beliau berkata, selaras cabaran semasa dan masa hadapan membabitkan perubahan demografi dan landskap pekerjaan, KWSP sedang mengkaji pembaharuan dan penambahbaikan Skim KWSP.

"Populasi warga emas di Malaysia dijangka meningkat lebih tiga kali ganda menjelang 2060 daripada 3.6 juta pada 2020 kepada 12.3 juta pada 2060, malah data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan, 41 peratus isi rumah diketuai warga emas berada dalam kemiskinan relatif manakala 12 peratus berada dalam kemiskinan mutlak.

"Selain itu, lebih separuh tenaga buruh iaitu 56 peratus daripada 16.7 juta tenaga buruh tidak mendapat perlindungan di bawah mana-mana program persaraan formal di Malaysia. Kadar ini 12 peratus lebih rendah berbanding kadar purata liputan peringkat global yang kini berada pada kadar 68 peratus.

"Maka KWSP akan berusaha mencari penyelesaian jangka panjang terbaik kepada ahli termasuk mengkaji skim semasa dalam usaha membantu rakyat Malaysia membina simpanan persaraan," katanya.

Antara cadangan terkandung di dalam kerangka Ekonomi MADANI adalah untuk meningkatkan pendapatan rakyat termasuk kajian semula tahap gaji minimum serta memperkenal undang-undang yang menjamin persekitaran kerja yang selamat dan selesa.

Selain pelaksanaan gaji minimum, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia sedang memperhalusi model gaji progresif ke arah kenaikan pendapatan yang lebih terangkum.

Kerajaan juga bercadang mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing kurang mahir yang menyumbang kepada nilai gaji keseluruhan yang rendah.

Katanya, KWSP juga menitikberatkan kesedaran dalam perancangan kewangan dan persaraan bagi mengimbangi keperluan kewangan semasa dan kepentingan persaraan di masa hadapan.

"Selain memperkenalkan Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) sejak 2014, KWSP berusaha menggalakkan penggunaan Panduan Belanjawanku yang dilancarkan dengan kerjasama Social Wellbeing Research Centre (SWRC) sebagai proksi penentuan kadar gaji minimum negara supaya taraf hidup rakyat Malaysia dapat ditingkatkan untuk menjalani kehidupan harian lebih selesa.

"Belanjawanku boleh digunakan untuk merancang perbelanjaan peribadi dan keluarga berdasarkan kategori isi rumah yang secara tidak langsung penanda aras perbelanjaan minimum dalam aplikasi ini dapat meningkatkan kesedaran umum mengenai isu ketidakcukupan pendapatan berbanding dengan kos hidup semasa," katanya.

Sementara itu, Nurhisham berkata, pelbagai inisiatif digerakkan KWSP serta pihak berkaitan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan pekerja.

"Cabaran utama ialah ramai pekerja menghadapi kesukaran dalam menyimpan jumlah mencukupi untuk memenuhi keperluan persaraan yang selesa.

"KWSP akan terus berusaha menggalakkan penyertaan pekerja, majikan dan pelbagai pihak dengan memberi pendidikan kewangan termasuk kesedaran tentang pentingnya meningkatkan gaji pekerja serta mengamalkan simpanan lebih dalam usaha memastikan pekerja ada simpanan mencukupi.

"Pencapaian visi Ekonomi MADANI ini sudah tentu memerlukan keselamatan pekerjaan kukuh dan perlindungan sosial yang mencukupi bagi pekerja termasuk memastikan pekerja mempunyai perlindungan kesihatan, cuti sakit berbayar dan insurans sesuai.

"Dalam hal ini, KWSP boleh membantu melalui kerjasama pihak lain seperti kerajaan, pertubuhan pekerja dan majikan untuk sama-sama memperkukuhkan tahap perlindungan sosial negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 7:02 AM