- Foto hiasan
- Foto hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Sembilan warga asing ditahan susulan penemuan mayat lelaki dengan enam tikaman dan kesan calar di muka di tapak pembinaan di Taman Menglembu, di sini, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata, mayat mangsa tanpa identiti berusia 20-an yang juga warga asing itu turut ditemukan dalam keadaan mulut berdarah.

"Individu ditahan adalah lapan lelaki dan seorang wanita warga asing berusia antara 21 hingga 41 tahun kira-kira 5 pagi.

"Kesemuanya direman tujuh hari bermula hari ini hingga 24 Jun bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abang Zainal Abidin berkata, mayat mangsa ditemukan orang awam pada 1.23 pagi sebelum dimaklumkan kepada pihak polis.

"Siasatan awal mendapati mangsa terbaring dalam keadaan mulut berdarah dan sehingga kini identiti mangsa masih dalam semakan dan pengesahan majikan.

"Polis mendapati terdapat enam kesan tikaman dan kesan trauma oleh objek tumpul di bahagian kiri muka serta calar di bahagian badan mangsa.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematiannya adalah disebabkan blunt trauma of the head," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kerana kesalahan membunuh dengan niat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kes diminta memberi keterangan kepada pegawai penyiasat Asisten Superintendan Chua Sze Yuan di talian 012-6195312 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 6:36 PM