KPDN menyerbu premis di Bandar Bukit Puchong, Puchong, kerana menjual LPG melebihi harga kawalan. FOTO ihsan KPDN
KPDN menyerbu premis di Bandar Bukit Puchong, Puchong, kerana menjual LPG melebihi harga kawalan. FOTO ihsan KPDN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah premis di Bandar Bukit Puchong, Puchong, Sabtu lalu kerana menjual gas petroleum cecair (LPG) melebihi harga kawalan.

Tindakan diambil susulan video tular yang memaparkan jualan satu tong gas LPG pada harga RM34.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azam Adam berkata, hasil siasatan awal ke atas video itu, KPDN berjaya mengenal pasti alamat premis dan lokasi lori yang membuat penghantaran.

"Susulan itu, pasukan serbuan bertindak melakukan uji beli ke atas LPG yang dijual oleh syarikat terbabit bagi mengenal pasti harga jualan sebenar LPG itu.

"Hasil daripada uji beli yang dilakukan mendapati LPG berkapasiti 14 kilogram (kg) dijual pada harga jualan RM34 setong berbanding harga kawalan yang ditetapkan Kerajaan iaitu RM26.60 setong bagi LPG berkapasiti 14 kg.

"Alasan yang diberikan oleh peniaga terbabit menjual melebihi harga kawalan adalah susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel oleh Kerajaan bermula 10 Jun lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, satu notis bertulis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) juga dikeluarkan kepada peniaga terbabit untuk mengemukakan maklum balas berhubung harga jualan dan kos LPG yang dijual dalam tempoh 5 hari bekerja kepada pihak KPDN.

"Ia susulan tindakan peniaga terbabit memberikan alasan pelarasan subsidi harga minyak diesel menjadi punca kenaikan harga LPG berkenaan," katanya.

Menurutnya, KPDN melaksanakan Ops Kesan 2.0 bagi menghadapi sebarang impak berikutan penyasaran subsidi diesel bagi memastikan tiada elemen pencatutan berlaku dan mematuhi sepenuhnya perundangan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Berdasarkan statistik Ops Kesan 2.0 bermula 20 Mei sehingga 17 Jun lalu, sebanyak 993 premis diperiksa di seluruh negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 209 Notis Bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) dikeluarkan kepada peniaga di seluruh negara.

"KPDN ingin memberikan amaran bahawa mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga dan caj perkhidmatan akan dikenakan tindakan yang tegas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 6:05 PM