MOHAMAD (kiri) mengecat bangunan Dewan Orang Ramai pada Majlis Pelancaran Kampung Angkat Madani dan Ibadah Korban Aidiladha. FOTO Mohd Amin Jalil
MOHAMAD (kiri) mengecat bangunan Dewan Orang Ramai pada Majlis Pelancaran Kampung Angkat Madani dan Ibadah Korban Aidiladha. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Rembau: Tidak timbul soal Wisma Putera tidak membantu atau bertindak lepas tangan berhubung pelajar atau rakyat negara ini yang didapati hilang atau dipercayai tidak mahu dijejaki sebaik menamatkan pengajian di luar negara.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tugas asasi Wisma Putera adalah mengurus dan mengambil tahu hal ehwal rakyat Malaysia yang berada di luar negara selain menjalankan hubungan diplomasi antara negara.

Katanya, rakyat Malaysia yang berada di luar negara digesa untuk mendaftar keberadaan mereka dengan perwakilan Malaysia yang terdekat bagi memudahkan urusan pengesanan dan pencarian.

"Tetapi adalah mustahil bagi Wisma Putera ataupun Kementerian Luar untuk mengetahui mereka yang sendiri tak mahu mengetahui mereka ada di situ. Itu masalahnya...mereka tak mahu diketahui ada di negara tersebut.

"Jadi macam mana kita nak buat kerja, sekurang-kurangnya keluarga perlu tahu mereka berada di mana dan hubungi kita.

"Kita banyak saluran untuk membantu dan boleh menggunakan macam-macam saluran," katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kampung Angkat Madani dan Ibadah Korban Aidiladha Kementerian Luar di Dewan Orang Ramai Kampung Kanchong Rantau, di sini, hari ini.

Awal bulan ini, Harian Metro melaporkan seorang warga emas dari Johor, Jas Jabar,

77, mencari anaknya, Abdul Khalid Deman, 58, yang dilaporkan hilang sejak 36 tahun lalu tanpa khabar berita apabila tidak pulang ke negara selepas menamatkan pengajian di Universiti of Southwestern Louisiana, Amerika Syarikat.

Abdul Khalid yang juga anak sulung melanjutkan pengajian di universiti berkenaan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula sejak 1985 hingga 1989 dan pernah dua kali pulang ke kampung halaman sebelum akhirnya hilang tanpa jejak.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, terdapat banyak kes membabitkan rakyat negara ini di luar negara yang telah dibantu oleh Wisma Putera termasuk menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa 'scammer' di Laos, Kemboja dan lain-lain.

Untuk itu, katanya, rakyat Malaysia yang berada di luar negara atau baru tiba disyorkan mendaftarkan diri dengan pejabat kedutaan atau Pesuruhjaya Tinggi Malaysia sebagai langkah keselamatan.

"Langkah itu untuk memudahkan pihak Wisma Putera membantu mereka yang berkenaan jika berlaku sebarang masalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 5:03 PM