Dr Mohammed Azman
Dr Mohammed Azman
Oleh Suliati Asri

Usaha memperkenalkan Skim Pencen Warga Emas (SPWE) diyakini berupaya menjadi pendekatan 'serampang dua mata' ke arah menjamin aspek perlindungan sosial dan kelestarian kewangan menjelang usia persaraan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata isu yang membelenggu negara sekarang bukan sekadar berkisar mengenai ketidakcukupan wang simpanan hari tua atau menjelang persaraan pekerja.

Sebaliknya, beliau berkata, kebimbangan pelbagai pihak kini terarah kepada hakikat bahawa kira-kira 40 peratus daripada tenaga kerja tempatan tidak mempunyai perlindungan sosial di waktu persaraan.

"Sebagai agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM), PERKESO yang bertanggungjawab menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan pekerja melihat perkara ini perlu diberikan perhatian.

"Berdasarkan rekod tuntutan faedah Pencen Ilat daripada pencarum yang berusia antara 55 hingga 60 tahun dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, wujud peningkatan kadar permohonan mencecah 57 peratus walaupun tidak kesemua kes mengalami keilatan.

"Penelitian kes oleh Jemaah Doktor kemudian mendapati kira-kira 80 peratus daripada permohonan itu ditolak kerana mereka didapati tidak mengalami keilatan," katanya mengulas artikel bertajuk 'Jaminan Masa Depan Pesara Tanpa Pencen' yang dikeluarkan Harian Metro, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata permohonan Pencen Ilat daripada kalangan pencarum berumur 55 tahun ke atas ini dipercayai sebagai 'insurans' bagi usia tua mereka apabila sudah tidak bekerja.

Sehubungan itu, katanya, masalah ketidakcukupan sumber kewangan menjelang usia emas dibimbangi bakal menjadikan golongan pesara terdedah kepada pelbagai risiko sehingga berupaya merencatkan taraf kualiti hidup.

"Oleh itu, adalah menjadi keperluan satu skim perlindungan keselamatan sosial diwujudkan bagi memelihara kebajikan pekerja di usia persaraan mereka.

"Perkara ini juga sebenarnya turut mendapat perhatian Menteri Sumber Manusia dan beliau sudah meminta PERKESO serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meneliti cadangan memperkenalkan SPWE.

"SPWE bertujuan sebagai jaringan keselamatan sosial selepas persaraan, selari usaha untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan warga emas di Malaysia, sekali gus menangani isu penuaan dalam kalangan populasi bekerja di Malaysia," katanya.

Menerusi kerjasama antara PERKESO dan KWSP, Mohammed Azman berkata, satu kajian kebolehlaksanaan SPWE berasaskan sistem insurans sosial sudah dilaksana bermula April lalu dan dijangka siap pada Disember ini.  

Secara dasarnya, beliau berkata, pelaksanaan terbaik SPWE adalah menerusi model insurans sosial dengan menekankan konsep solidariti atau tanggungjawab bersama dalam kalangan rakyat Malaysia.   

"Ini kerana, sistem insurans sosial menyediakan pendapatan kepada warga emas sewaktu tempoh persaraan menerusi pembiayaan terkumpul oleh pencarum dan perkongsian risiko.

"Malah, model ini dapat menangani kesenjangan pendapatan warga emas apabila pengagihan perlindungan pendapatan dapat dilaksanakan secara saksama antara individu berpendapatan tinggi atau rendah.

"Di samping itu, sistem insurans sosial ini sekiranya dilaksanakan secara universal akan membolehkan kelayakan perlindungan persaraan beralih merentasi sektor formal dan tidak formal, tidak kira status pekerjaan bagi memastikan tiada individu yang ketinggalan daripada menerima perlindungan persaraan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 7:39 AM