PEKERJA sektor swasta berharap agar kerajaan dapat meneruskan perlindungan serta penambahbaikan ke atas KWSP dan Perkeso demi rakyat. FOTO Arkib NSTP
PEKERJA sektor swasta berharap agar kerajaan dapat meneruskan perlindungan serta penambahbaikan ke atas KWSP dan Perkeso demi rakyat. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Cadangan kerajaan bagi memperluaskan liputan perlindungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ke atas populasi usia bekerja secara berperingkat mengikut fasa mampu memperkasa rakyat secara komprehensif.

Selain itu, Ekonomi Madani yang diperkenalkan oleh kerajaan dilihat sebagai usaha yang ditunjangi dengan strategik menyeluruh dan teliti bagi menghadapi cabaran pelbagai isu.

Memahami kepentingan persaraan rakyat di bawah tunjang Program Perlindungan Sosial, kerajaan komited membantu penambahbaikan kemampanan simpanan persaraan bagi memastikan tahap simpanan persaraan mencukupi untuk menampung kehidupan rakyat Malaysia yang akan menempuh alam persaraan.

Bagi Eksekutif Kanan, Fathin Amalina Ishak, 37, berkata sebagai pencarum KWSP dia menyambut baik usaha kerajaan melalui inisiatif Ekonomi Madani.

Katanya, usaha yang dilakukan kerajaan sekarang perlu diteruskan bagi memastikan rakyat terutama pencarum KWSP memperoleh keuntungan melalui simpanan persaraan mereka.

"Saya menyokong apa saja usaha yang dilaksanakan selagi ia memberi manfaat kepada segenap rakyat, malah penambahbaikan terhadap KWSP dan Perkeso juga sangat bagus lebih-lebih lagi untuk kakitangan swasta yang tiada sistem pencen.

"Selain sebagai simpanan untuk hari tua, KWSP juga adalah salah satu platform bagi rakyat Malaysia membuat pelaburan dengan dividen yang tinggi.

"Sudah pasti jika kita bijak menguruskan kewangan, melalui KWSP ini dapat meringankan perbelanjaan bulanan ketika bersara serta menyara kehidupan anak-anak yang masih belajar," katanya kepada Harian Metro.

Fathin berkata, dia berharap agar kerajaan dapat meneruskan perlindungan serta penambahbaikan ke atas KWSP dan Perkeso demi rakyat.

"Kerajaan juga boleh melabur kepada projek yang lebih besar dengan menyasarkan keuntungan tinggi supaya rakyat (pencarum) memperoleh dividen yang setimpal.

"Ini mampu memberi keuntungan kepada rakyat serta negara dan secara tidak langsung wang persaraan rakyat semakin bertambah," katanya.

Untuk memastikan jaringan keselamatan sosial terus ditingkatkan, perlindungan diberikan melalui Bantuan Sosial dan pelbagai program bantuan tunai dan program Rahmah diteruskan dan ditambah baik oleh kerajaan.

Bagi Pengurus Telekomunikasi, Aaron Hyy Balakrishnan, 34, berkata sebagai pencarum KWSP dan Perkeso, dia menyedari kepentingan perlindungan yang disediakan untuk pekerja swasta.

Menurutnya, sebagai pencarum, pulangan dividen tahunan KWSP dilihat mampu memberi manfaat kepada pencarum.

"Simpanan dalam KWSP memang membantu untuk persaraan tetapi bukannya secara mutlak dan ia lebih kepada penyelesaian hutang selepas bersara.

"Antara kemudahan KWSP adalah menyediakan pengeluaran pembayaran insurans tetapi dihadkan untuk polisi nyawa, cacat atau kematian sahaja.

"Saya sebagai rakyat merasakan keperluan insurans kesihatan amat penting dan perlu difokus oleh kerajaan supaya setiap rakyat dilindungi dan diberi kemudahan fleksibiliti bayaran melalui KWSP.

"Oleh itu, saya amat mengalu-alukan penambahbaikan yang akan dilakukan oleh kerajaan melalui Ekonomi Madani bagi memastikan tahap simpanan persaraan yang mencukupi," katanya.

Aaron berkata, dalam usaha memastikan Ekonomi Madani berkesan, kerajaan juga perlu meneliti semula kemudahan yang disediakan untuk pengeluaran pelaburan unit amanah.

"Kebanyakan ahli mengalami kerugian amat ketara dan pelaburan ini boleh dikategorikan berisiko tinggi dan saya sudah membuat pengeluaran pembayaran unit amanah daripada KWSP ke dua syarikat unit amanah terkemuka di Malaysia.

"Secara keseluruhan kerugian yang ditanggung kira-kira RM19,000 daripada jumlah RM100,000 pelaburan.

"Justeru, usaha kerajaan sangat diperlukan untuk menilai semula kebenaran pelaburan seperti ini bagi mengelakkan simpanan KWSP rugi begitu saja," katanya.

Sementara itu, kakitangan sokongan teknologi maklumat, Faizah Arifin, 38, berkata langkah kerajaan memperkasa rakyat perlu disokong terutama dalam memperbaiki fungsi bantuan caruman.

"Saya setuju dengan langkah yang diambil kerajaan ini demi menjamin masa depan bakal pesara tanpa pencen seperti kami.

"Sudah pasti dengan penambahbaikan yang akan dilakukan itu dapat membantu pekerja swasta menempuh alam persaraan secara holistik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 7:01 AM