GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


Beluran: Pekerja buruh ladang meninggal dunia selepas seminggu dirawat akibat terbabit pergaduhan dengan rakannya di sebuah ladang di Paitan, 8 Jun lalu.

Mangsa lelaki warga Indonesia berusia 43 tahun disahkan meninggal dunia pada 14 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata, siasatan awal mendapati mangsa bergaduh dengan seorang rakan sekerjanya berpunca daripada selisih faham.

"Mangsa yang parah kemudian dihantar ke Hospital Beluran sebelum disahkan meninggal dunia pada 14 Jun lalu.

"Suspek warga Indonesia berusia 25 tahun berjaya diberkas pada hari kejadian.

"Pada awalnya kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan parah, namun disebabkan mangsa meninggal dunia, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya dalam sidang media di IPD Beluran, hari ini.

Dalam pada itu, Hasan berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 41 tahun kerana terbabit pergaduhan dengan seorang lelaki sehingga parah di sebuah ladang di Telupid.

Katanya, kejadian itu berlaku pada 14 Jun dipercayai berpunca daripada selisih faham suspek dengan mangsa.

"Mangsa warga Indonesia berusia 22 tahun yang juga rakan sekerja suspek masih menerima rawatan di Hospital Beluran.

"Suspek kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 5:58 PM