GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Isu berkaitan simpanan persaraan di Malaysia akan mengambil masa yang lebih lama untuk diatasi memandangkan kebanyakan halangan yang timbul adalah bersifat struktur, seperti upah yang rendah.

Dalam laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2022 yang dikeluarkan hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan seperti yang disarankan terutama oleh beberapa agensi pelbagai hala, pembaharuan dasar yang paling berkesan adalah bersifat komprehensif, saling melengkapi serta berkait dengan pelbagai asas perlindungan sosial.

"Dari segi turutan, pembaharuan yang tertumpu pada kesaksamaan boleh dijadikan tumpuan jangka sederhana, manakala keutamaan segera perlu ditumpukan pada usaha membina semula daya tahan dan kecukupan simpanan persaraan dalam landskap selepas pandemik.

"Keutamaan segera juga termasuk melaksanakan langkah-langkah pengasingan dana persaraan dan menambah baik program jaringan keselamatan sedia ada untuk golongan berusia. Langkah ini perlu diambil seiring dengan penambahbaikan sistem untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan dasar yang lebih menyeluruh seperti meningkatkan produktiviti dan merungkai potensi data perlindungan sosial," tambahnya.

BNM memaklumkan jurang yang besar antara tempoh median simpanan persaraan bertahan dengan jangka hayat median selepas persaraan menggariskan keperluan segera untuk membina semula penampan simpanan yang menyusut susulan pengeluaran khas semasa pandemik

"Berlatarkan persekitaran ini, dasar-dasar untuk mempertingkatkan pengumpulan simpanan melalui pelanjutan fasa pengumpulan perlu segera dilaksanakan. Berdasarkan tanda aras antarabangsa, pengasingan dan pelaburan semula menawarkan potensi penyelesaian.

"Langkah ini melibatkan pelaburan semula sebahagian daripada simpanan persaraan yang sepatutnya akan dikeluarkan apabila mencapai umur pengeluaran, lantas melanjutkan tempoh pengumpulan simpanan," jelasnya.

Simpanan persaraan yang tidak mencukupi merupakan isu yang kritikal di seluruh dunia dan dijangka meruncing pada masa hadapan, dengan Forum Ekonomi Dunia (WEF) mengunjurkan simpanan pencen global mengalami kekurangan sebanyak US$400 trilion menjelang 2050.

"Hal ini disebabkan terutama oleh jangka hayat yang lebih lama dan nisbah tanggungan yang lebih tinggi.Walaupun jangka hayat yang lebih lama merupakan trend yang positif, bilangan penduduk umur bekerja yang semakin susut meningkatkan tekanan pada sistem perlindungan sosial semasa.

"Oleh itu, individu yang akan bersara mungkin mendapati lebih sukar untuk memenuhi keperluan mereka selepas bersara," menurut BNM.

BNM menambah banyak negara telah melaksanakan sokongan dasar dalam bentuk jaringan keselamatan sosial bagi memastikan keperluan asas untuk warga emas disediakan secukupnya,

Lazimnya, sokongan dasar ini dilaksanakan melalui program bantuan tunai bersasar yang bertujuan menyediakan tahap perlindungan minimum bagi golongan berusia yang mudah terjejas.

"Di Malaysia, kira-kira 19.5 peratus individu berumur 60 tahun ke atas menerima manfaat golongan berusia. Apabila bahagian golongan berusia meningkat, pergantungan pada langkah-langkah bantuan ini juga akan meningkat. Oleh itu, keutamaan pembaharuan perlu diberikan pada usaha meningkatkan kecukupan dan capaian ini," katanya.

BNM berkata kecukupan boleh dipertingkatkan dengan memastikan bantuan-bantuan ini dikaitkan dengan langkah-langkah berhubung dengan taraf hidup.

Pembaharuan pasaran pekerja dan keselamatan sosial merupakan bidang dasar utama yang menyumbang kepada peningkatan taraf hidup selepas persaraan secara mampan, tambah BNM.

Ini khususnya, dasar-dasar yang bertujuan mewujudkan pekerjaan yang sesuai bagi golongan berusia yang ingin bekerja semula perlu dipertimbangkan.

"Pembaharuan sistem perlindungan untuk golongan berusia merupakan satu cabaran dasar yang luas dan sangat kompleks bagi Malaysia.

"Namun, dasar jangka pendek untuk merangsangkan keberkesanan dasar dan menyokong pengumpulan simpanan persaraan adalah penting, memerlukan tindakan segera dan mampu dilaksanakan," menurut BNM.

BNM menjelaskan dasar ini juga akan merintis jalan ke arah pembaharuan lain dalam usaha mengurangkan pergeseran dalam pasaran pekerja, memperkukuh kemampanan fiskal termasuk pembaharuan dalam hasil dan perbelanjaan awam, serta mempertingkatkan rangka kerja perlindungan sosial secara keseluruhan.

Menurut BNM, yang penting, penambahbaikan ini bukan pengganti bagi pembaharuan ekonomi jangka panjang yang boleh meningkatkan tahap pendapatan semasa.

"Pasaran pekerja yang disokong oleh produktiviti yang mantap dan tahap celik kewangan yang tinggi merupakan pelengkap penting untuk sistem persaraan yang lebih baik.

"Oleh itu, penambahbaikan dalam tempoh jangka pendek dan jangka panjang perlu dilaksanakan serentak bagi memastikan ekonomi dapat terus dikukuhkan dengan sokongan sistem perlindungan sosial yang berkesan," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 11:39 AM