PENAMBAHBAIKAN  akan dilakukan bagi memastikan   tahap simpanan persaraan  mencukupi.
PENAMBAHBAIKAN akan dilakukan bagi memastikan tahap simpanan persaraan mencukupi.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Ekonomi Madani yang diperkenalkan oleh kerajaan dilihat sebagai usaha yang ditunjangi dengan strategik komprehensif kerana dibuat cecara menyeluruh dan teliti bagi menghadapi tantangan pelbagai isu.

Cadangan kerajaan bagi memperluaskan liputan perlindungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ke atas populasi umur bekerja secara berperingkat mengikut fasa juga sebagai langkah memperkasa rakyat.

Selain itu, di bawah tunjang Program Perlindungan Sosial juga kemampanan simpanan persaraan dengan penambahbaikan akan dilakukan bagi memastikan tahap simpanan persaraan yang mencukupi untuk menampung kehidupan rakyat Malaysia yang akan menempuh alam persaraan.

Bagi eksekutif kanan sebuah syarikat swasta, Fathin Amalina Ishak, 37, sebagai seorang pencarum KWSP, dia menyambut baik usaha kerajaan melalui inisiatif Ekonomi Madani itu.

Menurutnya, usaha dilakukan kerajaan sekarang perlu diteruskan bagi memastikan rakyat terutamanya pencarum KWSP memperoleh keuntungan melalui simpanan persaraan mereka.

"Saya menyokong apa saja usaha yang dilaksanakan selagi ia memberi manfaat kepada segenap rakyat, malah penambahbaikan terhadap KWSP dan Perkeso juga sangat bagus lebih-lebih lagi untuk kakitangan swasta yang tiada sistem pencen.

"Selain sebagai simpanan untuk hari tua, KWSP juga platform bagi rakyat Malaysia membuat pelaburan dengan dividen yang tinggi.

"Sudah pasti jika kita bijak menguruskan kewangan, melalui KWSP ini dapat meringankan perbelanjaan bulanan ketika bersara serta menyara kehidupan anak-anak yang masih belajar," katanya kepada Harian Metro.

Fathin berkata, dia berharap agar kerajaan dapat meneruskan perlindungan serta tambah baik KWSP dan Perkeso demi rakyat.

"Kerajaan juga boleh melabur kepada projek yang lebih besar dengan menyasarkan keuntungan tinggi supaya rakyat (pencarum) memperoleh dividen yang setimpal.

"Ini mampu memberi keuntungan kepada rakyat serta negara dan secara tidak langsung wang persaraan rakyat semakin bertambah," katanya.

Untuk memastikan jaringan keselamatan sosial juga terus ditingkatkan, perlindungan diberikan melalui Bantuan Sosial dan pelbagai program bantuan tunai dan program Rahmah diteruskan dan ditambah baik oleh kerajaan.

Bagi pengurus telekomunikasi, Aaron Hyy Balakrishnan, 34, pula berkata, dia sebagai pencarum KWSP dan Perkeso menyedari kepentingan perlindungan yang disediakan untuk pekerja swasta.

Menurutnya, sebagai pencarum, pulangan dividen tahunan KWSP dilihat mampu memberi manfaat kepada pencarum.

"Simpanan dalam KWSP memang membantu persaraan, tetapi bukannya secara mutlak dan ia lebih kepada penyelesaian hutang selepas bersara.

"Antara kemudahan KWSP menyediakan pengeluaran pembayaran insurans, tetapi dihadkan untuk polisi nyawa, cacat atau kematian sahaja.

"Saya sebagai rakyat merasakan keperluan insurans kesihatan amat penting dan perlu difokus oleh kerajaan supaya setiap rakyat dilindungi dan diberi kemudahan fleksibiliti bayaran melalui KWSP.

"Oleh itu, saya mengalu-alukan penambahbaikan yang dilakukan oleh kerajaan melalui Ekonomi Madani bagi memastikan tahap simpanan persaraan mencukupi," katanya.

Aaron berkata, dalam memastikan Ekonomi Madani berkesan, kerajaan perlu meneliti semula kemudahan disediakan untuk pengeluaran pelaburan unit amanah.

"Kebanyakan ahli kerugian ketara dan pelaburan ini boleh dikategorikan berisiko tinggi dan saya sudah membuat pengeluaran pembayaran unit amanah daripada KWSP ke dua syarikat unit amanah terkemuka di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 7:00 AM