Noor Hidayah Tanzizi


Sitiawan: "Saya rasa seperti 'berperang' dengan lalat kerana jumlahnya yang banyak membuatkan saya tidak selesa terutama pada waktu siang," kata Saharuddin Abdul Manaf, 49.

Saharuddin yang juga penduduk tempatan mendakwa masalah gangguan lalat di Kampung Tersusun Batu 7 Lekir, di sini, sudah berlarutan sejak sekian lama.

Menurutnya, masalah itu dipercayai berpunca daripada penternakan ayam kira-kira dua kilometer dari penempatannya.

"Saya percaya masalah ini disebabkan ternakan ayam, malah hampir setiap malam akan ada bau seperti makanan ayam.

"Saya tidak halang peternakan ayam kerana ia antara sumber ekonomi tetapi pihak berkenaan perlu ada tindakan yang lebih efektif supaya tiada masalah seperti ini," katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, dia tidak tahan dengan gangguan lalat dan sudah melakukan pelbagai cara termasuk memasang jaring di ruang rumah yang boleh dimasuki serangga itu, namun tidak berhasil.

Nor Raime Nor Rashid, 43, mendakwa dia pernah beberapa kali melihat lori ayam masuk ke kawasan berhampiran dipercayai pergi ke ladang ayam itu.

"Kehidupan seharian boleh dikatakan bersama lalat nak tidur siang pun tak selesa apatah lagi jika mahu mengadakan kenduri memang segan dengan tetamu.

"Justeru itu, saya berharap pihak berkaitan dapat melihat perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya supaya ia dapat diselesaikan dengan segera," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Manjung, Zulhisham Ahmad Shukori berkata, beliau akan merujuk Jabatan Veterinar untuk tindakan lanjut.

SAHARUDDIN (kiri) bersama Nor Raime (kanan) menunjukkan lalat terperangkap di kertas pelekat. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
SAHARUDDIN (kiri) bersama Nor Raime (kanan) menunjukkan lalat terperangkap di kertas pelekat. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

"Semakan akan dibuat untuk mengenal pasti ladang ayam berkenaan dan statusnya kerana lesen ternakan ayam dikeluarkan oleh jabatan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 11:26 AM