Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: "Kehidupan kami tidak tenteram, bayangkan dua anak saya yang menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) terpaksa duduk di bilik kerana lalat sentiasa menghurung komputer riba mereka," kata Bain Awi, 57.

Bain yang juga penduduk tempatan mendakwa masalah gangguan lalat di Parit 10 Gambut, Sungai Panjang, di sini, sudah berlarutan sejak sekian lama.

Selain Parit 10 Gambut, dua lagi kampung iaitu Parit 9 Gambut dan Parit 11 Gambut juga tidak terlepas daripada masalah itu.

Dia berkata, masalah itu juga menyebabkan dia sekeluarga terpaksa menutup pintu dan tingkap rumah sepanjang masa.

"Anak saya berusia 17 dan 19 tahun belajar dalam keadaan lalat berterbangan. Ia cukup merimaskan hingga mereka susah memberi tumpuan kepada pelajaran.Sebagai alternatif, mereka terpaksa duduk di bilik," katanya ketika ditemui dalam kunjungan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parit 9/10 Gambut, Mohamad Zamri Jamil dan Pengerusi Persatuan Peduli Rakyat Sungai Besar, Ahmad Zhafri Md Noor, hari ini.

Bain berkata, dia tidak tahan dengan gangguan lalat dan sudah melakukan pelbagai cara termasuk membeli penyembur anti serangga yang hanya bertahan selama dua hari.

Menurutnya, dia juga terpaksa menggunakan bekas makanan (tupperware) untuk menyimpan lauk sebelum menutupnya dengan tudung saji bagi mengelakkan lalat menghurung.

Penduduk Parit 9 1/2 Gambut, Masrol Imam, 39, pula mendakwa ladang ternakan ayam berhampiran kampung menjadi punca gangguan lalat.

"Kehidupan seharian boleh dikatakan bersama lalat sampaikan saya dan keluarga terpaksa makan dalam kelambu ," katanya.

Masrol berkata, untuk mengurangkan gangguan lalat, dia mengambil inisiatif menggunakan gam tikus dan kertas pembungkus makanan sebagai kertas pelekat.

"Dulu saya beli (kertas pelekat lalat) dengan harga RM5. Tetapi disebabkan kerap menggunakannya, saya beralih ke kaedah ini bagi menjimatkan kos.

"Saya mohon pihak berkaitan memandang serius perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya supaya ia dapat diselesaikan dengan kadar segera," katanya.

Sementara itu, Mohamad Zamri berkata, ketika ini kira-kira 400 penduduk dari tiga kampung berdepan masalah gangguan lalat.

Beliau berkata, pihaknya sudah menulis surat kepada agensi berkaitan termasuk Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Izham Hashim untuk tindakan lanjut.

"Saya berharap pemilik ladang ayam terbabit mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang digariskan selain tidak menyinggung hati penduduk kampung dengan menimbulkan masalah ini.

"Sekiranya dia (pemilik ladang ayam) mengikut peraturan, gangguan lalat tidak akan terjadi," katanya.

MASROL (tengah) bersama Mohamad Zamri (kanan) dan Ahmad Zhafri menunjukkan lalat yang melekat pada kertas pelekat. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
MASROL (tengah) bersama Mohamad Zamri (kanan) dan Ahmad Zhafri menunjukkan lalat yang melekat pada kertas pelekat. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 4:41 PM