Noor Hidayah Tanzizi


Beruas: "Sampai bila kami harus hidup bersama lalat? Kami sudah lama bersabar tetapi masalah ini tetap tidak menemui jalan penyelesaian," kata penduduk Kampung Tualang, di sini, Hamzah Md Nor.

Hamzah, 62, antara 800 penduduk Kampung Tualang dan Kampung Buruk Bakul, di sini, hidup dalam keadaan tidak selesa akibat gangguan lalat.

Masalah lalat itu dipercayai berpunca daripada reban ternakan ayam secara terbuka kira-kira 800 meter dengan penempatan penduduk sejak lebih 30 tahun lalu.

Hamzah berkata, mereka juga terpaksa menghidu bau najis haiwan berkenaan terutama pada waktu malam dan selepas hujan, malah tidur siang juga sering terganggu dengan kehadiran serangga itu.

Menurutnya, mereka sudah membawa perkara itu kepada pihak dan jabatan berkaitan namun ia belum menemui jalan penyelesaian terbaik.

"Saya menggunakan antara 10 hingga 15 keping pelekat lalat sehari dan sudah lama kami hidup dalam situasi ini, malah terpaksa tebalkan muka dengan saudara atau kenalan yang datang bertandang ke rumah.

"Kami sudah tidak tahan berhadapan dengan 'serangan' lalat. Kehadiran lalat ditambah dengan jumlahnya yang terlalu banyak dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan penduduk," katanya.

Penduduk, Muhamad Amir Kasim, 47, berkata, jumlah lalat akan menjadi terlalu banyak setiap kali ayam dibawa keluar dari reban hingga mengganggu aktiviti harian mereka.

"Gangguan lalat juga mengganggu emosi, hingga mahu memasak pun hilang 'mood' kerana belum lagi sempat lagi letak ikan, lalat dulu hinggap.

"Walaupun pintu dan tingkap ditutup lalat tetap masuk ke dalam rumah dan kami juga tak boleh terlupa menutup makanan kerana sekejap saja lalat akan hinggap," katanya.

Katanya, dia berharap reban berkenaan ditutup dan pengusaha disaran mencari lokasi baru yang lebih jauh kira-kira lebih 10 kilometer daripada penempatan penduduk.

Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung terbabit, Abu Hassan Abdullah, 68, berkata, sudah banyak kali masalah itu dibangkitkan dalam mesyuarat namun masih belum ada penyelesaian terbaik.

Muhamad Amir (kanan) dan Rashid Leman (kiri) menunjukkan lalat yang terperangkap pada pelekat lalat. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
Muhamad Amir (kanan) dan Rashid Leman (kiri) menunjukkan lalat yang terperangkap pada pelekat lalat. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.

Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Baru, Datuk Abd Manaf Hashim juga sudah membawa aduan berkenaan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, pihaknya sudah melakukan semakan bersepadu bersama Jabatan Veterinar Daerah Manjung selaku agensi utama pengawalan lesen ternakan haiwan susulan aduan diterima.

Menurutnya, Unit Kawalan Vektor MPM turut melakukan langkah kawalan dan pencegahan (jangka masa pendek) dengan melaksanakan aktiviti semburan asap di sekitar kawasan perumahan berkenaan.

"Kaedah ini sebagai usaha mengurangkan kehadiran lalat lalat ke kawasan perumahan. Warga perbandaran juga dinasihatkan terus menjaga kebersihan persekitaran sebagai langkah mengurangkan kehadiran lalat.

"Kami membuat semakan di lapangan berhubung operasi reban ayam dan memberi notis serta tempoh penambahbaikkan pengurusan reban dalam tempoh ditetapkan bagi kawasan yang sudah mendapat lesen Jabatan Veterinar.

"Sebanyak 26 notis telah dikeluarkan termasuk di kawasan aduan yang dimaksudkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 3:53 PM