Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Lebih 1,000 penduduk di empat kawasan di Ayer Tawar di sini, hidup dalam keadaan tidak selesa sejak kira-kira 30 tahun lalu akibat gangguan lalat.

Masalah lalat itu dipercayai berpunca daripada penternakan ayam secara terbuka yang didakwa dijalankan berhampiran dengan penempatan penduduk di Taman Iswara, Kampung Batu 19, Taman Ilham dan Ladang Bilhan.

Penduduk Taman Iswara, K Kumaran, 41, berkata, kehadiran lalat semakin bertambah terutama pada waktu puncak ketika ayam dan najis ternakan itu dibawa keluar daripada reban ayam.

"Saya percaya masalah ini disebabkan ternakan ayam kira-kira 500 meter dari rumah dan kami terpaksa berhadapan dengan 'serangan' lalat serta bau najis ayam. Malah bau busuk lebih kuat ketika hujan.

"Mahu memasak selain makan pun jadi tak selesa, malah anak yang sedang mengikuti kelas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) juga rasa tidak selesa," katanya ditemui hari ini.

Kumaran turut mendakwa, pelbagai usaha sudah dilakukan bagi mengatasi masalah itu, namun ia tiada jalan penyelesaian dan terus berlarutan.

"Kami sudah membuat aduan kepada wakil rakyat, Jabatan Veterinar dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM), malah jumpa pengusaha minta supaya menjaga kebersihan tetapi ia tetap tidak selesai juga.

"Justeru, kami harap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan berkaitan masalah ini dengan menutup terus reban terbabit atau dipindahkan ke lokasi jauh daripada penduduk," katanya yang juga anak jati kawasan berkenaan.

Penduduk Kampung Batu 19, S Hakeshkumar, 25, berkata, masalah itu juga dikhuatiri menjejaskan kesihatan penduduk terutama warga emas.

Katanya, jarak antara rumahnya dengan reban berkenaan terlalu dekat iaitu kira-kira 50 meter dan mendakwa lori ayam akan keluar masuk tiga kali seminggu.

K Kumaran menunjukkan pelekat lalat. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
K Kumaran menunjukkan pelekat lalat. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.

"Apabila memasak, lalat akan menghurung dan itu boleh mencemarkan makanan. Ia boleh beri kesan tidak baik kepada kesihatan apatah lagi ibu saya kurang sihat dan menghidap leukemia.

"Apabila lori ayam masuk, memang air najis akan jatuh mencemari laluan selain berbau busuk. Pintu dan tingkap rumah kami memang selalu ditutup," katanya yang turut berharap masalah itu segera ditangani.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak Dr Ahmad Shafri Hassan berkata, ada dua pengusaha ternakan ayam di kawasan berkenaan yang mempunyai lesen dan memang dalam pemantauan serta siasatan pihaknya.

Menurut beliau, kedua-dua reban ketika ini sudah kosong dan diarahkan untuk tidak membawa masuk anak ayam baru susulan aduan diterima.

"Kita akan mengeluarkan notis untuk menggantung sementara operasi mereka dalam masa terdekat dan kita akan melihat semua aspek yang menyebabkan cetus kacau ganggu lalat serta perkara yang perlu dibaiki penternak.

"Apabila sudah ada tindakan penambahbaikan dan kita berpuas hati, mereka boleh beroperasi semula," katanya.

Bagaimanapun, menurut beliau, pihaknya akan membatalkan lesen jika pengusaha gagal mematuhi arahan dan menambah baik pengurusan untuk menangani masalah lalat terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 2:27 PM