Noor Hidayah Tanzizi


Sitiawan: Penternakan ayam secara kaedah tertutup dengan penggunaan pendingin hawa dapat menjimatkan masa pengurusan dan lebih efisyen serta membantu mengurangkan masalah lalat.

Sehubungan itu kerajaan negeri mensasarkan 526 ladang ternakan ayam di seluruh negeri ini berubah sepenuhnya kepada kaedah ternakan secara tertutup dalam tempoh tiga tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Razman Zakaria berkata, setakat ini hanya 30 peratus daripada jumlah itu beroperasi secara kaedah tertutup.

Menurutnya, ia bagi membantu mengurangkan masalah gangguan lalat yang sering berlaku di kawasan penempatan penduduk sejak lebih 30 tahun lalu terutama di daerah Manjung.

Katanya, kerajaan negeri juga menubuhkan satu jawatankuasa khas membabitkan semua agensi berkaitan bagi menangani masalah itu.

"Difahamkan masalah lalat ini disumbangkan oleh ladang ternakan secara terbuka, jadi kerajaan negeri dan jawatankuasa teknikal (merangkumi agensi terbabit) akan mengadakan mesyuarat untuk menentukan tempoh bagi menyelesaikan masalah reban terbuka ini.

"Tindakan dan pemantauan memang diambil secara berterusan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan semua agensi terbabit.

PENGUSAHA ladang, Ling Yoke Hua (kiri) bersama Razman (dua kiri) yang hadir melawat reban ayam secara tertutup miliknya di Sitiawan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
PENGUSAHA ladang, Ling Yoke Hua (kiri) bersama Razman (dua kiri) yang hadir melawat reban ayam secara tertutup miliknya di Sitiawan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

"Kita juga sedang membuat pindaan enakmen unggas (Enakmen Perladangan Unggas 2005) dan mungkin kita akan menetapkan (amaun kompaun) lebih tinggi sebagai pengajaran kepada mereka (penternak)," katanya ketika melawat ladang ternakan ayam di Kampung Baru di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini Perak mempunyai 526 ladang ternakan dengan 151 ladang berada di Manjung membabitkan 542 reban terbuka dan 436 pula beroperasi secara kaedah tertutup.

Katanya, ada ladang ternakan ayam sudah wujud lebih awal daripada perumahan atau penempatan penduduk.

"Setakat ini kerjasama (daripada pengusaha) tiada masalah tetapi kita mahu segera (berubah kepada sistem tertutup) dan kita menjangkakan dalam tiga tahun ini kita mahu semua (reban menggunakan) sistem tertutup.

"Kebaikan reban kaedah secara tertutup ini dapat mengurangkan kacau ganggu lalat (di samping pematuhan amalan ditetapkan). Punca utama mereka masih belum berubah kepada kaedah ini kerana kos penyelenggaraan (namun) kita mahu kerjasama dari semua pihak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 3:55 PM