Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Bekalan ayam didapati kembali stabil dan tiada kekurangan ketara di pasar basah seluruh negara sejak 10 hari lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pemerhatian bekalan itu turut merangkumi pasar tani dan pasar raya dalam tempoh sama.

"Saya melihat sejak 10 hari ini tiada sebarang kekurangan ketara bekalan ayam di pasar raya, pasar tani dan pasar lain. Mungkin pengusaha ternakan ayam sudah mengambil tindakan yang perlu untuk memastikan bekalan keperluan 1.8 juta hingga 2 juta ayam sehari mampu dibekalkan," katanya katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pusat ternakan ayam Dinding Poultry Development Centre (DPDC) Segari di sini, hari ini.

Menurutnya, keputusan kerajaan menghentikan eksport ayam bermula esok membolehkan permintaan bekalan ayam di pasaran tempatan dipenuhi sepenuhnya.

"Kita juga memberhentikan eksport ayam ketika ini semata-mata untuk memastikan keperluan tempatan dapat dipenuhi," katanya.

Beliau berkata, kerajaan masih menetapkan harga siling ayam RM8.90 sekilogram dan menampung kenaikan harga dengan bantuan subsidi kerana jika tidak harga ayam mungkin akan mencecah RM10 hingga RM11 sekilogram.

"Harga ayam ditentukan faktor kos input tetapi kerajaan memutuskan harga siling ayam pada kadar RM8.90 sekilogram dan perbezaan harga itu ditampung oleh subsidi," katanya.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (kanan) mengadakan lawatan kerja ke Dinding Poultry Development Centre (DPDC) Segari, Manjung. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (kanan) mengadakan lawatan kerja ke Dinding Poultry Development Centre (DPDC) Segari, Manjung. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.

Ronald berkata, setakat ini sebanyak RM71 juta subsidi sudah dibayar daripada keseluruhan RM730 juta disediakan di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia sejak 5 Februari lalu.

Justeru, pihaknya meminta lebih ramai pihak industri tampil ke hadapan untuk membuat tuntutan subsidi masing-masing.

"Tuntutan subsidi ini akan berakhir pada 5 Jun ini, bagaimanapun selepas tarikh itu ia masih boleh diproses. Proses sudah dipercepatkan sekarang dan 'task force' juga sudah dibentuk dengan pembabitan lebih ramai kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar," katanya.

Sementara itu, Ronald berkata, kenaikan harga semua produk tanaman kerana kos input yang tinggi antaranya peningkatan kos baja dan racun selain berkaitan gaji minimum.

"Sama ada penternakan ayam, perladangan dan perikanan semua ada masalah (kenaikan harga) jadi kerajaan sentiasa meneliti dan beberapa tindakan diambil dalam semua sektor (seperti) bantuan subsidi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2022 @ 4:28 PM