Mohd Hasbi Sidek


JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sebanyak 442 saman terhadap pemandu kenderaan membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Ops Bersepadu di Plaza Tol Batu 9, Cheras, malam tadi.

Kesalahan membabitkan lesen memandu mencatatkan saman paling tinggi dalam operasi bermula 6 petang itu.

Operasi turut disertai Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, operasi itu melakukan pemeriksaan ke atas 2,496 kenderaan sebelum mengeluarkan 442 saman atas pelbagai kesalahan.

Shaharuddin Khalid (kiri) memeriksa penunggang motosikal dalam Ops Bersepadu JPJ Selangor di Plaza Tol Batu 9, Cheras, malam semalam. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Shaharuddin Khalid (kiri) memeriksa penunggang motosikal dalam Ops Bersepadu JPJ Selangor di Plaza Tol Batu 9, Cheras, malam semalam. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Menurutnya, tiada lesen memandu mencatat saman tertinggi iaitu 209 kesalahan dan 155 kesalahan cukai jalan tamat tempoh.

Katanya, pihaknya turut mengesan 40 kesalahan teknikal, sementara lain-lain kesalahan sebanyak 78 saman.

“Dalam pada itu, JPJ turut mengeluarkan 20 notis larangan penggunaan kenderaan dan notis arah periksa (22), manakala 20 kenderaan disita.

“Sementara, AADK melakukan ujian saringan air kencing terhadap 106 individu, dan 18 daripada mereka dikesan positif dadah masing-masing berusia antara 20 hingga 40 tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 11:24 AM