Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pasangan kekasih yang 'melaram' menggunakan Nissan Skyline dipercayai klon pada malam ambang tahun baru antara kenderaan yang dikenakan tindakan dalam operasi bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi di sini, hari ini

Operasi yang bermula pada 8 malam tadi itu diketuai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama beberapa agensi lain termasuk polis, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, lelaki bersama pasangannya itu melakukan kesalahan cermin gelap, tiada cukai jalan, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan dipercayai kenderaan klon.

"Hasil pemeriksaan mendapati hanya lima peratus cahaya boleh masuk melalui cermin kereta mewah itu. Kita juga dapati kenderaan itu menggunakan nombor plat 'fancy'.

"Cukai jalan pula didapati sudah tamat tempoh sejak setahun lalu, apabila tiada cukai jalan maka tiada insurans kereta. Ini akan mendatangkan pelbagai masalah jika pemandu kenderaan itu terbabit kemalangan.

"Setakat ini, kita juga percaya kereta itu diklonkan. Jabatan Kastam akan membuat pemeriksaan lanjut berkaitan isu berkenaan," katanya pada sidang media di plaza tol itu, di sini, malam tadi.

DATUK Zailani Hashim (tengah) turut sama membuat pemeriksaan kenderaan pada operasi Ambang Tahun Baru 2021 di Plaza Tol Sungai Besi menghala masuk ke pusat bandar. FOTO Khairul Azhar Ahmad
DATUK Zailani Hashim (tengah) turut sama membuat pemeriksaan kenderaan pada operasi Ambang Tahun Baru 2021 di Plaza Tol Sungai Besi menghala masuk ke pusat bandar. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Mengulas berhubung statistik operasi sama diadakan di 15 lokasi di seluruh negara malam tadi, Zailani berkata, sebanyak 2,055 kenderaan dikenakan tindakan kerana pelbagai kesalahan.

"Antara kesalahannya ialah tidak memiliki lesen, cermin gelap, kesalahan teknikal dan nombor plat 'fancy'.

"Dalam operasi sama, kita keluarkan 3,043 notis membabitkan 1,790 motosikal, 1,150 kereta dan 103 lain-lain kenderaan seperti bas serta lori dengan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 8:31 AM