ANGGOTA penguatkuasa SPAD menjalankan siasatan pada pemandu yang didapati mempunyai pelbagai kesalahan ketika operasi bersepadu. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
ANGGOTA penguatkuasa SPAD menjalankan siasatan pada pemandu yang didapati mempunyai pelbagai kesalahan ketika operasi bersepadu. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Mohd Hilmie Hussin


Jasin: Tiga puluh sembilan kesalahan pengguna jalan raya dikesan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan pelbagai agensi berkaitan melalui 299 pemeriksaan dalam operasi bersepadu di Plaza Tol Jasin di sini, malam tadi.

Dalam operasi lebih tiga jam bermula 8 malam itu, 85 kenderaan termasuk lori, bas dan teksi diperiksa SPAD sebelum tujuh kes dikenal pasti membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tidak mematuhi syarat lesen, membawa muatan secara berbahaya dan gagal mengemukakan permit kenderaan.

Sebanyak 32 kesalahan lain dilakukan pengguna jalan raya termasuk kes berkaitan dadah, tiada dokumen perjalanan diri, serta saman trafik mellmbabitkan 214 pemeriksaan oleh pelbagai agensi yang mengambil bahagian.

Setiausaha Majlis Keselamatan Jalan Raya negeri, Ghafar Misdar berkata, operasi besar-besaran diketuai SPAD itu dilakukan bertujuan mengesan pengguna jalan raya yang tidak mematuhi Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD 2010) serta terbabit dalam kesalahan lain.

Dalam operasi diketuai SPAD itu, 100 anggota daripada pelbagai agensi terbabit termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Turut mengambil bahagian ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2016 @ 10:21 AM