Redzuan Muharam


LEBIH 10 tahun lalu, Nik Mohd Yusoff pernah diuji apabila diberhentikan kerja sebagai pemandu peribadi hanya kerana bertubuh besar.

Namun, lelaki berusia 43 tahun itu tidak berputus asa dan terus berusaha dengan menjadi pemandu teksi selama lima tahun sebelum beralih kepada perkhidmatan e-hailing iaitu Grab dan MyCar.

Semuanya dilakukan demi menyara isteri, Norrazlinda Razalee, 40, dan empat anak berusia antara enam hingga 15 tahun selain ibu mentua, Normah Abd Rasap, 65, yang mengalami sakit lutut serta nenek, Meriam Sulaiman, 83, yang uzur serta kudung kaki kiri selepas terbabit dalam kemalangan, 40 tahun lalu.

Pendapatan diterima sebagai pemandu e-hailing pada awalnya agak memuaskan, tetapi semakin berkurangan disebabkan persaingan sengit.

Dugaan Nik Mohd Yusoff bertambah apabila tidak dapat lagi menjadi pemandu e-hailing akibat gagal menjelaskan insurans dan melakukan pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) kerana kesempitan wang.

Demi meneruskan hidup, Nik Mohd Yusoff kini mengambil upah menghantar dan mengambil tiga pelajar pulang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Kuala Lumpur.

"Saya mula mengambil upah menghantar tiga pelajar sekolah itu sejak awal tahun ini iaitu ketika masih menjadi pemandu e-hailing.

"Sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu, saya berehat buat sementara tetapi masalah timbul apabila cukai jalan tamat tempoh dan selepas diperbaharui, saya tiada wang pula untuk membayar insurans dan membuat pemeriksaan di Puspakom.

"Kali terakhir saya menjadi pemandu e-hailing adalah pada bulan lalu dan kini hanya melakukan satu pekerjaan iaitu mengambil dan menghantar pulang pelajar pulang ke rumah dari sekolah," katanya ketika ditemui di Kampung Sering, Ampang, semalam.

Nik Mohd Yusoff berkata, dia mengambil upah RM300 untuk setiap seorang murid dan ia membolehkannya meraih pendapatan RM900 sebulan.

Katanya, jumlah itu tidak mencukupi dan dia sudah berikhtiar memohon pekerjaan lain, tetapi belum ada panggilan diterima sehingga kini.

"Saya cuba memohon semula kerja sebagai pemandu peribadi tetapi belum ada rezeki untuk diterima bekerja sehingga kini.

"Tidak tahu apa sebabnya, mungkin kerana faktor usia atau fizikal saya.

"Jadi, saya teruskan saja dengan kerja sekarang sementara menunggu wang cukup untuk mengambil insuran melakukan pemeriksaan kereta sebelum kembali menjadi pemandu e-hailing," katanya.

Nik Mohd Yusoff berkata, dia menerima bantuan bulanan sebanyak RM500 daripada Pusat Zakat Selangor (PZS) sejak tahun lalu.

Dia bersyukur dengan bantuan diterima tetapi mengakui tidak cukup kerana mempunyai komitmen besar sebagai ketua keluarga.

"Orang mungkin nampak saya bertuah kerana ada rumah tetapi hakikatnya, saya sekeluarga hanya menumpang di rumah peninggalan arwah bapa mentua.

"Biarpun tidak tinggal menyewa, komitmen lain masih ada iaitu membayar ansuran bulanan kereta milik adik ipar selain perbelanjaan harian keluarga.

"Ikutkan, saya sering mengalami kesempitan wang tetapi reda dengan ujian ini. Lagipun, bukan hanya saya, ramai lagi rakan pemandu mengalami nasib sama malah ada yang lebih teruk daripada itu," katanya.

NIK Mohd Yusoff (kiri) bersama isteri dan ibu mentuanya. FOTO Rohanis Shukri
NIK Mohd Yusoff (kiri) bersama isteri dan ibu mentuanya. FOTO Rohanis Shukri

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 9:50 PM