GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


PEMANDU perkhidmatan e-hailing yang mahu memohon Lesen Vokasional (PSV) boleh mendaftar di institut memandu dan pusat latihan memandu E-hailing Operator (EHO) yang diiktiraf Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bermula 1 April ini.

JPJ dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, modul latihan PSV terbabit berlangsung selama enam jam dengan kadar yuran siling ditetapkan kerajaan RM200.

Menurutnya, pelaksanaan itu adalah membabitkan pemandu dan kenderaan e-hailing yang bertindak sebagai kenderaan perkhidmatan awam.

Katanya, pemandu kenderaan perkhidmatan e-hailing adalah setara dengan pemandu kenderaan perkhidmatan teksi, kereta sewa dan teksi mewah.

“Mana-mana pemandu atau bakal pemandu perkhidmatan e-hailing perlu memiliki PSV seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 56 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Bentuk fizikal lesen vokasional baharu akan dikeluarkan dan dicetak kepada pemandu yang berjaya.

“Pemandu teksi sedia ada yang mempunyai PSV akan dikemas kini kepada bentuk fizikal baharu ketika pemegang lesen memandu membuat pembaharuan lesen berkenaan,” katanya.

Sementara itu, kenyataan itu menjelaskan, kenderaan digunakan untuk perkhidmatan e-hailing yang berusia kurang tiga tahun perlu menjalani proses tukar kegunaan dari kenderaan persendirian kepada kenderaan persendirian e-hailing.

Katanya, perkara itu selari dengan peruntukan mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 12(3) dan Seksyen 12(4) APJ 1987.

“Permohonan boleh dikemukakan oleh pemandu e-hailing atau pembawa dokumen di mana-mana pejabat JPJ negeri dan cawangan di seluruh negara kecuali Pusat Transformasi Bandar (UTC) bermula 1 April ini,” katanya.

Proses itu mengkehendaki pemohon melampirkan beberapa dokumen sokongan seperti Borang JPJK8 (Pind. 1/2016) – Borang Pindaan/Pembetulan Butir Kenderaan dan Pemilik Berdaftar Seksyen 12 APJ 1987; Borang Pengisytiharan Kenderaan Persendirian e-hailing (JPJ-EH1); maklumat Laporan Pemeriksaan Berkala PUSPAKOM (VR1) yang berkuat kuasa bagi kenderaan yang sudah mencapai had usia tiga tahun dari tarikh pendaftaran dan Borang Pengesahan e-hailing (Electronic Vehicle Permit - eVP).

“Kenderaan yang dibenarkan (untuk perkhidmatan e-hailing) adalah kereta, jip, van, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan pikap bagi Sabah dan Sarawak saja,” kata kenyataan itu lagi.

JPJ memaklumkan, kadar bayaran Lesen Kenderaan Motor (LKM) kenderaan persendirian e-hailing masih kekal seperti kenderaan persendirian, iaitu mengikut kuasa enjin (CC) kenderaan, termasuk Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, katanya, sebarang perubahan kadar bayaran akan dimaklumkan oleh kerajaan dari masa ke semasa.

“Semua kenderaan persendirian e-hailing perlu melekatkan pelekat khas kenderaan e-hailing yang akan dikeluarkan oleh pihak EHO seperti garis panduan ditetapkan JPJ.

“Selain itu, bagi kenderaan yang sudah mencapai usia tiga tahun dan ke atas dari tarikh pendaftaran perlu menjalani pemeriksaan awalan terpakai di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) terlebih dahulu sebelum melakukan penukaran kod kegunaan di JPJ.

“Pemeriksaan PUSPAKOM boleh dilakukan di seluruh negara dan lapan unit van bergerak PUSPAKOM yang menyediakan perkhidmatan pemeriksaan bagi kenderaan e-hailing,” katanya.

Katanya, peraturan dan garis panduan yang ditetapkan itu bertujuan untuk memberi perlindungan keselamatan pemandu, penumpang serta pihak ketiga terhadap sebarang risiko yang tidak diingini.

“Tindakan penguatkuasaan akan dikenakan kepada pemandu dan kenderaan yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan bermula 12 Julai nanti selaras dengan pengumuman Menteri Pengangkutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 8:50 PM