FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Hairulazim Mahmud


“TIADA kompromi, kita akan ambil tindakan tegas terhadap pemandu e-hailing mulai 12 Oktober,” tegas Pengarah Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Khairul Anwar Bachok.

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan sudah memberi tempoh yang panjang kepada pemandu dan operator e-hailing untuk memenuhi syarat serta peraturan baharu.

Katanya, JPJ tidak akan teragak-agak lagi untuk bertindak sekiranya mereka yang terbabit melanggar undang-undang.

“Bagi saya, kita akan tangkap satu-satu dan kumpulkan mereka untuk diambil tindakan,” katanya kepada media di Putrajaya hari ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menegaskan penguatkuasaan peraturan e-hailing akan dikuatkuasakan Sabtu ini tanpa penangguhan lagi.

Pemandu e-hailing sebelum ini membantah peraturan baharu penukaran kod kenderaan ke ‘AH’ (e-hailing persendirian) dan mencetak Permit Kenderaan E-hailing (eVP) sedangkan tidak perlu dilakukan oleh pemandu atau pemilik kenderaan terbabit.

Kod ‘AH’ antaranya adalah untuk JPJ mengenal pasti kenderaan persendirian individu dan e-hailing.

Selain itu, ia untuk memastikan kenderaan e-hailing menjalani pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Dalam perkembangan lain, Khairul Anwar memberi amaran kepada kenderaan perkhidmatan awam khususnya bas pekerja di seluruh negara supaya mematuhi undang-undang untuk meneruskan operasi mereka.

“JPJ melalui Ops Kesan sudah menyita 11 bas pekerja dan sebuah van persendirian di sekitar kawasan ini.

“Antara kesalahan yang dilakukan ialah lesen kenderaan tamat tempoh, tiada lesen memandu dan tiada lesen pengendali,” katanya.

Katanya, ops itu bertujuan mengambil tindakan terhadap bas pekerja mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

“JPJ memandang serius perkara ini dari akan giat melaksanakan operasi dari semasa ke semasa dengan kerjasama agensi lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 1:27 PM