RAJA Mohd Nor (duduk, dua kiri) dan B Vinayagan (duduk, tiga kiri) bersama pemandu teksi menunjukkan memorandum bantahan operasi ‘e-hailing’. FOTO Mary Victoria Dass
RAJA Mohd Nor (duduk, dua kiri) dan B Vinayagan (duduk, tiga kiri) bersama pemandu teksi menunjukkan memorandum bantahan operasi ‘e-hailing’. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


GABUNGAN Persatuan Teksi Berdaftar Johor Bahru (GAPET) berharap pemandu teksi di seluruh negara tidak dianaktirikan kerana perlu mematuhi pelbagai peraturan yang ditetapkan berbanding pemandu sistem ‘e-hailing’.

Presidennya, Raja Mohd Nor Mohamad berkata, sebelum ini kerajaan pusat mencadangkan supaya pemandu sistem ‘e-hailing’ diwajibkan memiliki Kad Pemandu mulai akhir tahun lalu atau awal tahun ini.

Beliau berkata, ia sebagaimana yang disyaratkan kepada pemandu teksi sedia ada dan peraturan baru itu dipercayai akan dilaksanakan selepas pindaan terhadap Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dibuat bagi memperkemaskan pelaksanaan sistem e-hailing.

Menurutnya, malangnya, perkara itu masih belum dilaksanakan dan pemandu GrabCar dan Uber bebas beroperasi tanpa sebarang peraturan.

Katanya, tambang mereka juga tidak diseragamkan seperti teksi hingga mereka mengenakan bayaran berbeza serta membebani penumpang.

"Kami sebagai duta bandar raya dan memikul tugasan untuk meningkatkan imej negeri dan negara ini dikenakan pelbagai syarat hingga ia membebankan.

"GAPET mewakili 18 persatuan teksi berharap perkara berkenaan diberi perhatian serius," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi Gerak Pantas, B Vinayagan berkata, pendapatan mereka terjejas teruk kerana terpaksa bersaing dengan perkhidmatan ‘e-hailing.’

"Lama kami bersabar namun sehingga hari ini, SPAD seolah-olah tidak mengambil apa-apa tindakan dan bersikap berdolak-dalik.

"Kami terpaksa menanggung kos seperti bayar Puspakom bagi menjalani pemeriksaan kenderaan dua kali setahun dan perlu bayar sewa harian kepada syarikat.

"Manakala (pemandu) e-hailing menggunakan kenderaan persendirian yang mungkin hanya membayar sewa bulanan kenderaan.

"Malah sekiranya berlaku kemalangan, tiada perlindungan insurans bagi penumpang dan mereka perlu menanggung risiko sendiri," katanya di sidang media di Johor Bahru, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 8:37 PM