WAKIL pemandu teksi menyerahkan memorandum bantahan kepada Dahlan (kiri), hari ini. FOTO Ihsan TV3
WAKIL pemandu teksi menyerahkan memorandum bantahan kepada Dahlan (kiri), hari ini. FOTO Ihsan TV3
Wartawan NSTP


KIRA-KIRA 200 pemandu teksi berhimpun di Padang Merbuk, Kuala Lumpur, hari ini bagi menuntut perkhidmatan e-hailing seperti Grab dihentikan sehingga kerajaan menetapkan akta dan peraturan rasmi.

Mereka juga mahu perkhidmatan e-hailing sedia ada menggunakan kenderaan yang sah seperti teksi, teksi mewah, van pelancongan serta semua kelas kenderaan yang mempunyai lesen pengendali, dan bukannya kenderaan persendirian seperti sekarang.

Pada perhimpunan itu, mereka cuba menyampaikan memorandum berhubung perkara terbabit kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Kumpulan diketuai Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERSIM), Kamarudin Mohd Hussain berkumpul seawal jam 9 pagi sebelum berarak ke Parlimen bagi menyampaikan memorandum kepada Loke, bagaimanapun dihalang pihak polis.

Tindakan polis diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Rudy Abdullah menyebabkan ada pemandu teksi berasa tidak puas hati, namun mereka bersetuju tidak berarak selepas perbincangan diadakn.

Polis kemudian membenarkan empat wakil mereka bertemu dengan Setiausaha Politik kepada Loke, Datuk Dahlan Makmor yang hadir di lokasi perhimpunan untuk menerima memorandum terbabit.

Menurut Kamarudin, pihaknya tidak meminta perkhidmatan e-hailing dihapuskan sebaliknya mahu ia diguna pakai secara betul dan hanya kepada pemandu teksi konvensional.

“Kita tidak minta e-hailing dihapuskan, cuma kita minta ia diguna pakai secara betul.

“Kenderaan yang melanggar peraturan diberi tempoh maksimum tiga bulan untuk patuhi semua peraturan, tetapi Menteri Pengangkutan beri tempoh setahun (kepada pemandu e-hailing)... ini tidak logik,” katanya.

Menurut Kamaruddin, perkhidmatan Grab yang menggunakan e-hailing hanya akan berterusan ‘merompak’ mata pencarian pemandu teksi sekiranya tidak dihentikan.

Pada 11 Julai lalu, Loke dipetik berkata, perkhidmatan e-hailing akan dikawal selia oleh kerajaan bermula 14 Julai lalu melalui Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017.

Antara syaratnya adalah semua pemandu e-hailing perlu mendapatkan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV), membuat pemeriksaan kesihatan, saringan rekod jenayah serta pemeriksaan kenderaan melalui Puspakom Sdn Bhd. (Puspakom).

Semua syarikat yang mengendalikan perkhidmatan e-hailing diberikan tempoh moratorium selama setahun bagi melaksanakan semua peraturan yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 6:51 PM