Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) sudah membelanjakan wang zakat berjumlah RM95,277,429 sejak Januari hingga Jun lalu bagi membantu meringankan beban rakyat di negeri ini.

Yang Dipertua Maik yang juga Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, perbelanjaan itu meningkat 14 peratus berbanding tempoh sama 2021 iaitu RM83,483,082.

Baginda bertitah, dalam tempoh berkenaan, perbelanjaan Program Asnaf Fakir dan Miskin mencatat pecahan terbesar dalam program agihan zakat yang berjumlah RM39,032,000.

Jumlah agihan terbesar adalah bantuan bulanan kepada golongan berkenaan iaitu RM16,111,070 dan ia memberi manfaat kepada 6,849 penerima.

"Bagaimanapun, terdapat dua kategori asnaf yang mencatat penurunan daripada segi penerimaan zakat iaitu bantuan Al-Gharimin dan Al-Raqib yang menurun daripada RM35,141 kepada RM30,084 kerana permohonan yang diterima berkurangan daripada tahun sebelumnya.

"Selain itu, bantuan kepada asnaf amil turut menunjukkan pengurangan 15 peratus daripada 2021 disebabkan tuntutan habuan balik daripada amil yang lazimnya dibuat tuntutan pada separuh kedua tahun semasa," katanya.

Baginda bertitah kepada media selepas menyempurnakan Majlis Sidang Media Laporan Khas Terimaan Dan Perbelanjaan Maik Bagi Januari Hingga Jun 2022 di Dewan Bunga Emas, Hotel Perdana di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua Maik Zulkifle Ab Rahman dan Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Terdahulu, Tengku Mohamad Rizam menyampaikan pengurniaan bantuan rumah kediaman asnaf Maik bagi 2022 kepada 180 penerima di seluruh Kelantan membabitkan peruntukan lebih RM10 juta.

Mengulas lanjut, Tengku Mohamad Rizam bertitah, terimaan zakat Maik bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini turut mencatat peningkatan 29 peratus iaitu RM117,680,926 berbanding RM91,016,709 bagi tempoh sama tahun lalu.

"Terimaan zakat ini membabitkan zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat wang simpanan, zakat fitrah dan zakat lain-lain termasuk zakat pertanian, zakat emas dan sebagainya," titah baginda.

Dalam pada itu, Tengku Mohamad Rizam bertitah, Maik merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pembayar zakat yang konsisten bersama Maik dan setakat ini, sejumlah 33 peratus pembayar berumur di antara 31 hingga 40 tahun.

"Kumpulan ini menjadi kelompok terbanyak dalam menyumbangkan zakat kepada Maik sekali gus menunjukkan bahawa generasi muda mempunyai tahap kesedaran yang tinggi dalam menunaikan sebahagian kewajipan mereka sebagai pembayar zakat.

"Selain itu, dengan adanya pembentangan laporan Maik, ia memberi impak yang baik kepada pembayar zakat sekali gus dapat mengetahui aktiviti agihan secara telus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 4:16 PM
TENGKU Mohamad Rizam (tengah) replika cek bantuan rumah kediaman MAIK kepada wakil Jajahan Kuala Krai ketika Majlis Laporan Khas Terimaan Dan Perbelanjaan MAIK Bagi Januari Hingga Jun 2022. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
TENGKU Mohamad Rizam (tengah) replika cek bantuan rumah kediaman MAIK kepada wakil Jajahan Kuala Krai ketika Majlis Laporan Khas Terimaan Dan Perbelanjaan MAIK Bagi Januari Hingga Jun 2022. FOTO Hazira Ahmad Zaidi