TENGKu Mohamad Rizam (kiri) pengurniaan  sumbangan tahunan kepada Yayasan Islam Kelantan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad (tengah) sambil diperhatikan Pengerusi Yayasan Islam Kelantan, Tengku Ab Rahman Yunus (kiri). FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
TENGKu Mohamad Rizam (kiri) pengurniaan sumbangan tahunan kepada Yayasan Islam Kelantan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad (tengah) sambil diperhatikan Pengerusi Yayasan Islam Kelantan, Tengku Ab Rahman Yunus (kiri). FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Hazira Ahmad Zaidi


MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) melantik 50 sukarelawan yang berperanan mendapatkan maklumat asnaf di setiap jajahan di Kelantan.

Yang Dipertuanya, Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, mereka akan mengenalpasti asnaf yang sebelum ini tercicir daripada memperoleh agihan zakat.

“Sukarelawan ini akan ditempatkan di setiap masjid dan pihak berwajib harus memproses permohonan asnaf yang layak memperoleh agihan zakat di setiap jajahan.

“Cara ini lebih cekap kerana mereka tidak lagi perlu ke ibu pejabat MAIK di Kota Bharu untuk membuat permohonan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra MAIK bersama Rakan Media dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Kota Bharu.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifle Ab Rahman dan Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamed.

Tengku Mohamad Rizam berkata, untuk permulaan pihaknya sudah mengenal pasti lima masjid untuk menempatkan sukarelawan ini.

“Lima masjid lagi akan dikenal pasti sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, MAIK mensasarkan untuk mengutip RM210 juta zakat tahun ini.

Menurutnya, tahun lalu kutipan zakat yang diperoleh pihaknya sebanyak RM195 juta, manakala RM183 juta pada 2018.

Beliau berkata, bagi meningkatkan kutipan, setiap awal tahun MAIK akan berkongsi mengenai pencapaian kutipan zakat tahun lalu serta perancangan yang dilakukan untuk aktiviti di tahun semasa.

“MAIK amat menghargai keyakinan pembayar zakat dan ia dapat dibuktikan dengan peningkatan jumlah kutipan zakat pada 2019 walaupun dalam keadaan ekonomi yang agak mencabar.

“Jika sesetengah negeri lain agak sukar untuk mencapai sasaran kutipan zakat, tapi alhamdulillah di Kelantan rezeki kita bertambah,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 10:35 AM