MOHD Khairul (kanan) membimbing empat bekas mak nyah yang akan menunaikan ibadah umrah bulan depan. FOTO Mohd Rafi Mamat
MOHD Khairul (kanan) membimbing empat bekas mak nyah yang akan menunaikan ibadah umrah bulan depan. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Menunaikan ibadah umrah bulan depan memberi peluang kepada lima bekas mak nyah untuk bertaubat mohon keampunan daripada Allah SWT terhadap kesilapan lalu.

Mereka berharap dosa kerana terjebak dengan laluan songsang dapat diampunkan Allah selepas menjejakkan kaki di bumi Makkah.

Lima bekas mak nyah itu antara 150 ahli Persatuan Insaf Pahang (PIP) yang mula mendapat sinar keinsafan selepas mengikuti pelbagai program keagamaan di Rumah Ngaji, di sini.

Pengerusi PIP, Nor, 51 (bukan nama sebenar) berkata, dia bersyukur selepas menunggu sekian lama akhirnya berpeluang menunaikan umrah di bawah tajaan PIP.

"Saya mengharapkan keampunan Allah terhadap semua kesilapan lalu, sebelum ini saya lalai dan terlalu mengikut kata hati.

"Saya berharap umrah yang akan dilakukan nanti dapat diterima Allah. Saya bertaubat dan menjalani kehidupan sebagai lelaki normal," katanya pada Majlis Kesyukuran disertai lebih 30 ahli PIP di Rumah Ngaji, di sini, semalam.

Dia berkata, di hadapan Kaabah nanti dia juga akan berdoa semoga lebih ramai lagi golongan mak nyah insaf dan kembali ke pangkal jalan, meninggalkan aktiviti lorong sebalik membina kerjaya baru.

Nor yang mengidap limfoma sejak lebih dua tahun lalu berkata, dana kewangan PIP sumbangan pelbagai pihak seperti Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan diguna untuk menaja tiket penerbangan mak nyah menunaikan ibadah umrah.

Katanya, setiap tahun antara seorang hingga lima bekas mak nyah menerima tajaan menunaikan umrah, mereka yang terpilih akan menyertai kursus singkat umrah dikendalikan tenaga pengajar terlatih dari MUIP.

"Kali ini lima bekas mak nyah terpilih menunaikan ibadat umrah, kami akan bertolak pada 11 Julai depan. Kami berada di tanah suci selama kira-kira dua minggu," katanya.

Bagi Mala, 47, (bukan nama sebenar), dia bersyukur diberi peluang menjejakkan kaki ke Makkah selepas sekian lama menunggu.

Katanya, kehidupan gelap sebelum ini ditinggalkan selepas menemui jalan taubat bersama rakan-rakan dalam PIP.

"Perasaan gembira, bersyukur dan berdebar sentiasa berlegar dalam fikiran saya sebelum menjejakkan ke Tanah Suci. Saya juga takut menerima balasan dari Allah di atas kesilapan lalu.

"Setiap hari saya berdoa mohon Allah permudahkan segala urusan sepanjang menunaikan ibadah umrah yang akan menjadikan titik kehidupan saya lebih baik," katanya yang kini terbabit dengan perniagaan kuih.

Katanya, dia dan rakan berharap umrah yang akan dilakukan nanti diterima Allah walaupun mereka sebelum ini bergelombang dengan dosa.

Sementara itu, guru agama di Rumah Ngaji, Mohd Khairul Shaharudin berkata, dia dan rakan akan memberi tunjuk ajar pada mereka yang terpilih menunaikan ibadah umrah menerusi kursus ringkas. "Saya mendoakan lima bekas mak nyah yang terpilih menunaikan umrah dapat melakukan ibadah dengan sebaik mungkin.

"Saya selalu berpesan kepada mereka supaya lupakan kisah hitam, bina kehidupan baru yang lebih sempurna. Allah pasti menerima taubat mereka sekiranya mereka benar-benar bertaubat dan insaf dengan kesilapan lalu," katanya yang mengajar al-Quran dan Fardu Ain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 11:54 AM