Oleh Hidayatidayu Razali


Tanah Merah: Kejadian disimbah asid oleh bekas isteri 19 tahun lalu masih segar dalam ingatannya hingga menyebabkan tubuh yang normal menjadi kurang upaya.

Insiden berkenaan menyebabkan mata kiri bekas tentera, Tuan Azman Tuan Ludin, 51, yang kini tinggal di Kampung Gual Ipoh di sini, buta manakala kedua-dua tangan, muka bahagian kiri dan dada hingga ke perut melecur teruk.

Tuan Azman berkata, akibat kejadian itu kulitnya menjadi sensitif dan mudah cedera berikutan kecederaan parah dan terpaksa menjalani pembedahan menampal kulit paha di bahagian yang terkena asid.

Menurutnya, dia juga tidak dapat menoleh ke belakang dan mendongak ke atas berikutan kecederaan di bahagian leher serta belakang.

Mengimbas kejadian 1 pagi pada Julai 2005 yang berlaku di rumahnya di Kampung Legeh, dekat Jeli, ketika dia sedang tidur sebelum disimbah asid oleh bekas isterinya.

"Rasa pedih dan terkejut dengan kejadian itu menyebabkan saya terus bangun daripada tidur. Saya terpaksa dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selama tiga bulan dan berulang-alik ke hospital itu untuk rawatan pemulihan wajah selama tiga tahun.

"Kejadian itu berlaku kerana saya melahirkan hasrat untuk bermadu dan kemungkinan bekas isteri tidak dapat menerima hakikat.

"Selepas kejadian itu, saya berpisah dengan bekas isteri dan tidak jadi kahwin dengan wanita yang dimaksudkan," katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana dipertemukan jodoh dengan wanita lain yang juga isterinya sekarang, Noraimi Saimina Ghazali, 40, yang sanggup menjaga dan menerima kekurangan dirinya.

Katanya, isteri seorang yang sabar kerana membantu merawat dan memulihkan kembali semangatnya selepas mengalami trauma selepas kejadian itu.

"Walaupun ketika itu saya tidak sempurna dan terpaksa berhenti daripada tentera namun isteri dapat menerima saya dengan seadanya.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana isteri sanggup menjaga saya sehingga sekarang. Dia juga yang memberi sokongan dan semangat sehingga saya benar-benar pulih.

"Untuk kembali pulih seperti sekarang ia mengambil masa lama namun sebagai manusia saya terima ujian ini dengan berlapang dada. Saya juga sudah memaafkan bekas isteri," katanya.

Bapa kepada dua anak itu berkata, bekas isterinya sudah meninggal dunia tahun lalu disebabkan penyakit batu karang dalam hempedu.

Menurutnya, dia sekarang meneruskan hidup dengan bekerja sendiri, selain mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 berikutan statusnya sebagai orang kurang upaya (OKU) dan bantuan sara hidup sebagai veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) RM300 sebulan.

LIN (kanan) dan ibunya, Che Ku Zaimah melihat keratan akhbar mengenai tragedi menimpa mereka.
LIN (kanan) dan ibunya, Che Ku Zaimah melihat keratan akhbar mengenai tragedi menimpa mereka.

Bernafas pun seksa

Kuala Berang: Walaupun sudah 14 tahun berlalu, mangsa simbahan asid, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 22, masih merasai kesakitannya sehingga kini.

Selain parut di wajahnya, keadaan itu turut menyebabkan Nurul Dahyatul Fazlinda atau mesra disapa Lin sukar bernafas terutama ketika cuaca sejuk, selesema atau demam kerana saluran pernafasannya yang sempit.

Tidak cukup dengan itu, Lin juga memaklumkan wajahnya yang terkena simbahan cuka getah itu akan pedih apabila berdepan cuaca panas.

Kisah anak kedua daripada empat beradik itu pernah menggemparkan negara apabila Lin terkena simbahan asid oleh bapanya dalam kejadian jam 1.45 pagi pada 15 Ogos 2010.

Selain Lin, tiga lagi ahli keluarganya iaitu ibu, nenek dan adik lelakinya turut melecur di beberapa bahagian anggota badan akibat terkena simbahan asid yang sama.

Menurut Lin, dia tidak pernah berdendam sebaliknya sudah lama memaafkan bapanya dan reda dengan apa yang berlaku namun tidak dapat menafikan masih menderita akan kejadian itu.

Katanya, dia sudah lama memaafkan bapanya namun tragedi itu masih meninggalkan memori hitam kepadanya seperti keadaan fizikal selain menyukarkannya untuk bernafas.

"Sehingga kini, saya masih menerima rawatan untuk memulihkan wajah dan ia bukan dilakukan untuk cantik semata-mata tetapi kerana keadaan ini membuatkan saya sukar bernafas.

"Dalam tempoh 14 tahun ini, hospital boleh diibaratkan seperti rumah kedua saya namun pernah menghentikan seketika rawatan akibat masalah kewangan.

"Namun, tahun lalu, saya kembali menjalani rawatan untuk suntikan dan laser untuk mengecutkan parut di sebuah klinik swasta dan terbaharu pada April lalu, saya menjalani pembedahan menampal tisu pada wajahnya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mendapat bantuan daripada seorang ahli politik.

"Pada Disember nanti, saya akan menjalani pembedahan di HKL membabitkan hidung untuk melancarkan pernafasan yang sempit," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sekayu di sini.

Lin yang mengusahakan perniagaan kedai makan bersama ibunya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 42, berkata, kejadian menimpa pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim pada Mei lalu membuatkan dia kembali terbayang tragedi hitam itu.

"Ketika tahu kejadian itu, saya mula terbayang-bayang peristiwa 14 tahun lalu dan bila lihat keadaan pemain bola itu yang pertama kali membuat kemunculan di khalayak umum, saya jadi sebak tengok kecederaan dialaminya.

"Keadaan dialami pemain bola itu lebih serius berbanding saya dan saya tidak tahu bagaimana ada pihak sanggup buat begitu kerana ia bukan sahaja meninggalkan kesan pada fizikal tetapi dalaman itu sendiri.

"Hanya orang yang pernah menjadi mangsa simbahan asid sahaja tahu betapa peritnya untuk kami hadapi situasi ini kerana bukan sahaja luaran kami yang terkesan, tetapi dalaman kami juga trauma," katanya yang berharap penjualan cuka getah itu dapat diperketatkan bagi mengelak insiden sama dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, Che Ku Zaimah berkata, dia juga sudah lama memaafkan perbuatan bekas suaminya itu dan tidak pernah memutuskan hubungan empat anaknya dan bapa kandung mereka.

"Apa yang berlaku sudah ketentuan dan saya tidak pernah halang mereka untuk jumpa ayah mereka lagipun dia sendiri sudah dikenakan hukuman atas perbuatannya.

"Lin dan adik beradiknya yang lain juga biasa bermalam di rumah bapanya yang terletak tidak jauh dari kampung ini dan saya tidak menghalang Lin untuk menemui bapa kandungnya itu dan hubungan mereka anak dan bapa kini semakin akrab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 12:01 PM
TUAN Azman  (kanan) ditemani Noraimi menunjukkan kesan  kecederaan akibat disimbah asid.
TUAN Azman (kanan) ditemani Noraimi menunjukkan kesan kecederaan akibat disimbah asid.