Oleh Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bersedia membuka masjid kepada orang ramai sekiranya Kelantan mencapai tahap imuniti kelompok.

Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, buat masa ini hanya empat jemaah dibenarkan menunaikan solat jemaah di masjid terdiri daripada pegawai masjid termasuk imam dan bilal.

Katanya, jumlah jemaah dibenarkan itu mengambil kira kes harian Covid-19 di Kelantan yang masih pada empat angka dan ketetapan ini adalah sebagaimana titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V selain pandangan bersama

"Bagaimanapun, sekiranya ada penurunan kes dan pemberian vaksin di Kelantan meningkat, masjid akan dibuka kepada orang ramai, namun buat masa ini seperti kita maklum Kelantan adalah negeri kedua tercorot proses vaksinasi dan masih belum dapat mencapai had memenuhi imuniti kelompok.

"Justeru itu, kami mengambil langkah berhati-hati sebelum membuat keputusan untuk membuka masjid kepada orang ramai kerana masjid adalah tempat perjumpaan orang ramai terutamanya di kampung.

"Saya berharap kerajaan pusat dapat mempercepatkan vaksinasi kepada Kelantan, malah dalam masa sama, Sultan Kelantan turut menggesa perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Sidang Media Laporan Khas Terimaan Dan Perbelanjaan MAIK Bagi Januari hingga Jun 2021 di Dewan Serbaguna Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra Panji di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MAIK Zulkifle Ab Rahman, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad, dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin.

Terdahulu Tengku Mohamad Rizam mengurniakan sumbangan Bantuan Prihatin MAIK kepada Ketua-Ketua Jajahan selain sumbangan berjumlah RM10,000 kepada Datuk Dr Zaini Hussin untuk diserahkan kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Dalam perkembangan lain, Tengku Mohamad Rizam berkata, walaupun dalam tempoh negara yang masih bergelut serta berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan, dengan capaian platform atas talian yang disediakan untuk pembayar zakat MAIK, bayaran bagi tempoh Januari hingga Jun adalah agak memberangsangkan.

"Melalui capaian atas talian seperti e-PTG (Potongan Gaji Bulanan Zakat) dan kemudahan bayaran e-Zakat mencapai urusan sehingga RM1 juta tanpa perlu ke pejabat MAIK.

"Sehingga Jun lalu, MAIK sudah membelanjakan sebanyak RM83,864,749 kepada golongan sasar dan asnaf di seluruh negeri.

"Perbelanjaan ini dapat disempurnakan adalah hasil daripada komitmen semua pembayar zakat, penyumbang baitulmal, pewakaf dan bantuan yang diterima dalam pelbagai pihak.

"MAIK juga ingin menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak kerana mereka adalah hero sebenar kepada asnaf dan rakyat Kelantan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 2:45 PM
Mohamad Rizam (tengah) menunjukkan buku  Laporan Khas Terimaan Dan Perbelanjaan MAIK diiringi Timbalan Yang Dipertua MAIK Zulkifle Ab Rahman (kanan) Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad (kiri) selepas menyempurnakan Majlis Sidang Media Laporan Khas Terimaan Dan Perbelanjaan MAIK Bagi Januari hingga Jun 2021 di Dewan Serbaguna Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra Panji, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Mohamad Rizam (tengah) menunjukkan buku Laporan Khas Terimaan Dan Perbelanjaan MAIK diiringi Timbalan Yang Dipertua MAIK Zulkifle Ab Rahman (kanan) Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad (kiri) selepas menyempurnakan Majlis Sidang Media Laporan Khas Terimaan Dan Perbelanjaan MAIK Bagi Januari hingga Jun 2021 di Dewan Serbaguna Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra Panji, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR