GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Bentong: Pemandu bas persiaran terbabit kemalangan yang menyebabkan dua maut dan 13 cedera di Kilometer (KM) 16.5, Jalan Genting Highlands di sini, semalam, sudah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada 10.30 malam.

"Pemandu bas itu direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Rabu," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, polis mengesahkan pemandu bas persiaran yang terbabit dalam kemalangan di KM16.5, Jalan Genting Highlands, di sini, tidak memiliki lesen memandu selain memiliki 27 rekod saman lampau atas pelbagai kesalahan.

Zaiham dilaporkan berkata, kesalahan itu dikesan selepas polis melakukan semakan terhadapnya.

Dalam kejadian 10.35 pagi itu, bas persiaran yang membawa 18 penumpang warga asing dan tiga warga tempatan terdiri daripada pemandu bas, pembantunya dan pemandu pelancong, terbabas sebelum melanggar tembok tengah pembahagi jalan.

Dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian iaitu Zhang Ping berusia 58 tahun dan Wang Suhong berusia 49 tahun dengan kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 12:01 PM