TENGKU Tan Sri Mohamad Rizam. FOTO arkib NSTP
TENGKU Tan Sri Mohamad Rizam. FOTO arkib NSTP
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memperuntukkan lebih RM9 juta melalui lima fasa Program Prihatin MAIK Covid-19 bagi membantu mereka yang terjejas akibat penularan Covid-19.

Peruntukan itu membabitkan enam kategori utama iaitu bantuan khas kepada fakir miskin, elaun pegawai masjid termasuk sumbangan asnaf melalui pihak masjid dan sumbangan barangan dan makanan kepada petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) setiap jajahan.

Selain itu, bantuan kepada masyarakat Orang Asli termasuk guru agama Orang Asli, sumbangan peralatan kesihatan bagi membantu merawat pesakit Covid-19 kepada hospital dan peruntukan pembaikian, menaiktaraf masjid negeri, bandar, mukim serta surau.

Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah peruntukan bagi bantuan khas kepada asnaf fakir miskin bernilai RM 3.7 juta.

"Selain itu, sumbangan kepada pegawai masjid dan masyarakat setempat membabitkan RM12.4 juta.

"Bagi bakul asnaf pula, sejumlah RM604,000 akan diagihkan bagi bantuan sumbangan khas asnaf melalui masjid bandar, jajahan dan mukim," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi bantuan kepada masyarakat Orang Asli termasuk guru agama, RM436,180 akan diagihkan termasuk sumbangan makanan kepada 4,550 ketua isi rumah orang asli Kelantan yang bernilai RM227,500.

Katanya, bagi membantu petugas hadapan di setiap PPV jajahan, MAIK memperuntukkan dana berjumlah RM100,000.

"Setiap jajahan dibekalkan barangan seperti pelitup muka, cecair pembasmi kuman termasuk juga pek makanan untuk petugas barisan hadapan yang dianggarkan bernilai RM10,000.

"Pihak kami juga menyumbangkan peralatan kesihatan bagi membantu merawat pesakit Covid-19 kepada pihak hospital berjumlah RM47,800 iaitu dengan serahan dua unit High Flow Oxygen Theraphy Hunidifer (HNFC) melalui dana wakaf kepada pihak Hospital Raja Zainab II (HRPZ II)," katanya.

Mohamad Rizam berkata, bagi memastikan keselesaan jemaah termasuk menyediakan masjid untuk menjadi tempat membantu program imunisasi, MAIK sudah membelanjakan lebih RM3.1 juta bagi membaiki, menaiktaraf serta menyediakan infrastruktru bagi masjid negeri, bandar, mukim serta surau di Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 10:52 AM