RAKYAT Palestin memeriksa kereta yang musnah akibat serangan tentera Israel di kawasan al-Mawasi. FOTO AFP
RAKYAT Palestin memeriksa kereta yang musnah akibat serangan tentera Israel di kawasan al-Mawasi. FOTO AFP
AFP

Beirut: Seorang pegawai kanan Hamas di Palestin pada Sabtu berkata, rundingan untuk perjanjian dengan Israel mengenai gencatan senjata di Gaza dan perjanjian pembebasan tebusan tidak menunjukkan sebarang kemajuan.

Pelan yang dibentangkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, bulan lalu yang dikatakan dicadangkan oleh Israel.

Ia termasuk gencatan senjata selama enam minggu disertai pengunduran Israel dari kawasan padat penduduk dan pembebasan beberapa tebusan sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin yang ditahan di Israel.

Menurut laman berita AS Axios, 'tiga sumber dengan pengetahuan langsung' berkata Washington sudah membentangkan 'perenggan baharu untuk sebahagian daripada' perjanjian yang dicadangkan.

Pada Sabtu, seorang pegawai Hamas Osama Hamdan, yang berpangkalan di Lubnan, mengesahkan gerakan Islam itu sudah menerima cadangan terbaru pada 24 Jun, tetapi 'tiada yang baru'.

"Kita boleh katakan tiada kemajuan sebenar dalam rundingan untuk menghentikan pencerobohan (Israel) setakat ini," katanya pada sidang media.

Pelan yang dibentangkan oleh Biden setakat ini gagal menghasilkan perjanjian, dengan kedua-dua pihak berpegang pada tuntutan mereka.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata beliau akan meneruskan perang sehingga Hamas dikalahkan sepenuhnya dan semua tebusan dibebaskan.

Bagaimanapun, Hamas menegaskan gencatan senjata kekal dan pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Semenanjung Gaza.

Hamdan berkata, cadangan itu 'hanya membuang masa dan memberi masa tambahan untuk pendudukan (Israel) bagi teruskan pembunuhan beramai-ramai'.

Katanya, Hamas sedang ditekan untuk menerima perjanjian Israel 'tanpa sebarang pengubahsuaian'.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 12:03 PM