SUNGAI Kim Kim semakin pulih. FOTO Ihsan Penduduk
SUNGAI Kim Kim semakin pulih. FOTO Ihsan Penduduk
Mohamed Farid Noh


SUNGAI Kim Kim yang sebelum ini dicemari sisa toksik dan dipenuhi tompokan minyak sehingga tiada hidupan marin mampu hidup di dalamnya kini semakin pulih kepada keadaan asal.

Tinjauan wartawan di kawasan tengah sungai berkenaan di Kampung Bukit Pulai, Pasir Gudang mendapati air sungai berkenaan yang dahulunya berwarna kehitaman kini semakin bersih.

Malah tiada lagi bau busuk keterlaluan disebabkan pencemaran sisa kimia bertoksik yang pernah dihidu ketika pencemaran di kawasan berkenaan menggemparkan negara, tahun lalu.

Penduduk Kampung Bukit Pulai yang juga nelayan, Nur Satria Rabu, 34, berkata, Sungai Kim Kim kini semakin baik malah ketika surut, dasar sungai dengan ikan kecil berenang dapat dilihat dengan jelas berbanding 10 tahun lalu.

"Alhamdulillah, Sungai Kim Kim semakin jernih dan pulih selepas dibersihkan, apatah lagi ketika Perintah Kawalan Pergerakan kebanyakan kilang dan industri berhenti beroperasi.

"Jika dahulu air sungai ini sentiasa berwarna kehitaman dan busuk sehingga tiada seekor ikan pun mampu hidup namun kini semuanya semakin baik.

"Kini banyak ikan termasuk keli, haruan dan tilapia yang besar-besar sudah kembali ke kawasan ini menandakan keadaan air sungai yang semakin pulih sekali gus mendatangkan rezeki kepada penduduk kampung dan nelayan sekitar," katanya.

Pencemaran kimia berbahaya di Sungai Kim Kim yang dikesan berlaku pada 7 Mac tahun lalu menggemparkan negara selepas beberapa murid dan pelajar pengsan selain mengalami simptom pening, loya dan muntah.

Bencana berkenaan menjejaskan kira-kira 6,000 penduduk Pasir Gudang terutama pelajar sehingga sekolah di kawasan berkenaan diarahkan ditutup sementara.

Sejauh 1.5 kilometer kawasan Sungai Kim Kim yang tercemar dengan sisa kimia berbahaya sudah dibersihkan dengan sejumlah 1,500 tan air sungai dan 900 tan enap cemar dengan sisa kimia berbahaya dilupuskan dari sungai berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2020 @ 3:28 PM